EXCO Industri Halal Dr Mohammad Fahmi Ngah menyampaikan cenderamata kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selepas sesi menandatangani plak perasmian Pavillion Selangor pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) pada 12 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB lancar Pavilion Selangor, lawat reruai di Pameran Halal Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini melancarkan Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) edisi ke-19.

Ketibaan beliau di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) diiringi EXCO Industri Halal Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop.

Pemimpin negeri itu menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran ruang kendalian MBI menerusi HIS Toyyiba Sdn Bhd (HIS), sebelum meluangkan masa melawat reruai yang menghimpunkan 23 pempamer.

Amirudin berkata pembabitan Kerajaan Selangor pada Mihas kali ini bertepatan dengan misi meningkatkan kebolehupayaan produk serta perkhidmatan industri halal ke peringkat global.

“Sejak penggal lepas, kita fokus satu jawatankuasa tetap baharu demi membugarkan industri ini kepada satu tahap tertentu. Yang penting kita bukannya mahu perkenalkan produk tetapi juga (menjadikan) sebahagian ekosistem.

“Di sini orang akan tahu bagaimana pensijilan halal dilaksanakan dan itu lebih penting dalam memastikan ekosistem halal dapat dimanfaatkan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai di Pavillion Selangor ketika Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) pada 12 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Dihoskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan dianjurkan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Mihas merupakan pameran halal terbesar dunia menghimpunkan pemain utama industri halal global.

Bertemakan “Paving the Way of Halal”, Mihas menampilkan trend, teknologi dan inovasi terkini meliputi 13 kluster industri halal.

Pameran berlangsung empat hari hingga 15 September diadakan secara hibrid, menggabungkan pameran fizikal dengan platform dalam talian yang boleh diakses 24 jam sehari sepanjang pameran.


Pengarang :