Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) bersama Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad (dua, kiri) mendengar taklimat daripada pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah (kiri) pada majlis pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Tapak Projek Loji Rawatan Air Sungai Rasau, Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat pada 30 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: LRA Sungai Rasau fasa dua bantu tingkat rizab air di Selangor

SHAH ALAM, 21 SEPT: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau fasa dua yang dibina secara dwifungsi akan membantu meningkatkan rizab air di Selangor.

Dato’ Menteri Besar menjelaskan projek meliputi tebatan banjir dan agihan bekalan air mampu menghasilkan air terawat sekurang-kurangnya 1,400 juta liter sehari (JLH) sebaik siap dijangka menjelang 2027.

“LRA ini merupakan loji paling moden di Asia Tenggara dan akan bantu tingkatkan rizab margin atau rizab air di Selangor. Ini (pembinaan LRA Sungai Rasau fasa dua) antara perkara yang telah berlaku.

“Loji ini juga kali pertama abstrak air dari Sungai Klang setelah kualiti sungai terbabit berada pada tahap tiga selepas kita melakukan projek pembersihan dalam Gerbang Maritim Selangor (SMG),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada Jelajah Belanjawan 2024 Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong ke Selangor di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Pada 30 Mei, Amirudin memaklumkan fasa pertama pembinaan LRA Sungai Rasau di Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat menelan belanja RM3.4 bilion manakala fasa kedua membabitkan RM2.4 bilion.

Fasa pertama projek bawah Skim Bekalan Air Rasau dijangka siap pada 2025 selain berupaya menghasilkan 700 JLH bekalan air.

Menurutnya projek memerlukan perbelanjaan besar kerana bukan hanya melibatkan pembinaan dan teknologi moden seperti ozon tetapi pengambilan tanah.


Pengarang :