Istiadat pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada mesyuarat pertama (angkat sumpah) persidangan penggal pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 19 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB nasihat wakil rakyat, bawa usul kekalkan Selangor negeri maju

Oleh Norrasyidah Arshad dan Zareef Muzammil

SHAH ALAM, 19 SEPT: Wakil rakyat penggal ini diminta menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin bagi membawa hala tuju lebih baik, sekali gus mengekalkan Selangor sebagai negeri maju.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan Ahli Dewan Negeri (ADN) juga perlu sentiasa berhemah, bijaksana dan berani menyahut cabaran masa hadapan.

“Maknanya bermula hari ini, secara rasmi saudara merupakan ADN Selangor yang bakal menentukan hala tuju pentadbiran, pengurusan dan dasar negeri.

“Jadi nasihat saya kepada seluruh dewan, marilah kita bawa usul dan perbahasan yang bawa kebaikan kepada negeri dalam menempuhi cabaran besar serta dasar ditetapkan,” katanya di sini hari ini.

Dalam usul penangguhan mesyuarat pertama (angkat sumpah) persidangan penggal pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15, beliau turut mengucapkan tahniah kepada speaker dan timbalan yang dilantik.

“Kita percaya DNS akan berjalan lancar. Tahniah dan syabas juga kepada semua ADN yang mengangkat sumpah,” katanya yang turut mengetuai upacara mengangkat sumpah pagi tadi.

Terdahulu, bekas ADN Banting Lau Weng San dilantik sebagai speaker manakala wakil rakyat Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin dipilih sebagai timbalan speaker.

Weng San turut memasyhurkan ADN Hulu Kelang yang juga Pengerusi Perikatan Selangor Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai ketua pembangkang.

Pada pilihan raya negeri lalu, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional Selangor membentuk kerajaan apabila menang 34 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.


Pengarang :