AGENDANASIONAL

MB pelawa sertai ekspo usahawan 6 Oktober, peluang majukan perniagaan

SHAH ALAM, 13 SEPT: Dato’ Menteri Besar mempelawa usahawan dan pemilik perniagaan menyertai Ekspo Usahawan Selangor 2023 (Selbiz 2023) pada Oktober depan bagi memajukan produk masing-masing.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyertaan sebagai vendor dalam acara selama tiga hari mulai 6 Oktober memberi peluang kepada golongan itu meluaskan perniagaan ke tahap lebih tinggi.

“Ayuh manfaatkan prospek ini dan sedia dibanjiri pengunjung di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam dari 6 hingga 8 Oktober ini. Jangan tunggu lagi, daftar menerusi pautan www.selbiz.my.

“Terokai peluang, manfaat jaringan hanya di Selbiz 2023,” katanya menerusi klip video pendek yang dimuat naik di Facebook Bahagian Pembangunan Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Acara tahun ini menyediakan 200 reruai kepada usahawan makanan, minuman, fesyen, aksesori, peruncitan, perkhidmatan, kosmetik, teknologi, pakaian terpakai, dekorasi dan barangan bayi.

Menyasar kehadiran 15,000 pengunjung, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan antaranya klinik usahawan Selangor, fiesta kopi, cabutan bertuah dan Selbiz Run 2023.

Pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan artis popular seperti Tomok, Ernie Zakri, Amir Masdi, Floor 88 dan Ara Johari.

Untuk sebarang pertanyaaan atau maklumat lanjut berhubung ekspo, hubungi Izzati Nadia di talian 017-419 9400 atau Nur Sabrina 011-2858 3903.


Pengarang :