Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak perasmian Pavillion Selangor ketika Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) pada 12 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Selangor tumpu ekosistem, rantaian halal, pastikan lebih banyak syarikat diiktiraf

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Kerajaan Selangor menumpukan usaha mengembangkan ekosistem dan rantaian halal bagi memastikan keterjaminan industri itu di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata komitmen itu termasuk memastikan lebih banyak syarikat multinasional (MNC), pengusaha kecil dan sederhana (SME) serta mikro SME memperoleh pensijilan halal yang diiktiraf juga diyakini dunia.

“Di Selangor kita lebih memikirkan ekosistem halal kerana sepanjang saya terlibat dalam menarik pelabur dan bincang dengan mereka tentang halal, sebahagian isunya adalah ekosistem dan bukannya produk.

“Ekosistem itu bagaimana pensijilan (halal) sampai ke peringkat dunia dan bagaimana dunia mengiktiraf pensijilan. Pensijilan itu akhirnya dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Jadi kalau boleh bantu ekosistem ini, kita boleh tahu proses tertentu untuk dapat pensijilan halal selain melahirkan pakar halal di setiap syarikat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas melancarkan Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) edisi ke-19 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini hari ini.

Hadir sama EXCO Industri Halal Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai di Pavillion Selangor ketika Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) pada 12 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sementara itu, Amirudin memaklumkan Jakim dan Jais membangunkan laman sesawang khas bagi memudahkan syarikat membuat pendaftaran sijil halal tanpa perlu membayar konsultan.

“Berbanding 10 tahun lepas semasa saya jadi EXCO Usahawan, sebenarnya lebih sukar (daftar sijil halal) sebab biasanya dia (pengusaha atau syarikat) terpaksa ambil konsultan dengan kos antara RM9,000 hingga RM10,000.

“Jadi ini hal penting yang boleh dipelajari di Pavilion Selangor sepanjang Mihas,” katanya.

Pavilion Selangor kendalian MBI menerusi HIS Toyyiba Sdn Bhd (HIS) menghimpunkan 23 pempamer terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), anak syarikat MBI dan syarikat yang bertapak di negeri ini.

Dihoskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan dianjurkan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Mihas menampilkan trend, teknologi dan inovasi terkini meliputi 13 kluster industri halal.

Pameran berlangsung empat hari hingga 15 September ini secara fizikal dan platform dalam talian yang boleh diakses 24 jam sehari.


Pengarang :