Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terdiri daripada pelbagai kaum yang lengkap berpakaian tradisional kaum dan etnik mengibarkan Jalur Gemilang sempena Program Kibar Jalur Gemilang 2023 bagi menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Kebangsaan di UMT pada 23 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB seru rakyat kekal kemakmuran, ucap Selamat Hari Malaysia

SHAH ALAM, 16 SEPT: Dato’ Menteri Besar menyeru rakyat agar mengekalkan kemakmuran dan keamanan negara sempena ulang tahun penubuhan Malaysia hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seruan itu juga adalah impian dan doa Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang dikongsi bersama rakyat pada tanggal 16 September 1963.

“Impian serta doa beliau terus bergelora di dalam jiwa lebih 33 juta rakyat Malaysia, dari seluruh pelosok. Tidak kira di mana atau siapa, kita terus mengikat perpaduan, saling bantu membantu, bagaikan sebuah keluarga.

“Sebuah negara yang masih segar dari kemerdekaan dan memasang cita-cita untuk berada di mata dunia. Hari ini, kita mampu tersenyum dan bangga bersama. Tapi bukan untuk kita terleka, kerana esok masih ada. Perjalanan masih jauh,” katanya menerusi Facebook.

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak juga mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat.

“Untuk Malaysia, yang kita cinta. Selamat Hari Malaysia. “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.” katanya.

 


Pengarang :