Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan gimik perasmian Pameran Udara Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 7 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB tinjau 50 pesawat peribadi, sukan di Pameran Udara Selangor

Oleh Suhaila Shahrul Annuar dan Zareef Muzammil

SHAH ALAM, 7 SEPT: Dato’ Menteri Besar merasmikan Pameran Udara Selangor (SAS) edisi ketiga yang menampilkan 117 pempamer dari dalam dan luar negara di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut meninjau kira-kira 50 pesawat statik pelbagai jenis antaranya pesawat peribadi dan sukan pada pameran yang berlangsung selama tiga hari hingga 9 September ini.

Turut hadir EXCO Pelaburan Ng Sze Han dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis pembukaan Pameran Udara Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 7 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin ketika berucap pada majlis itu berkata Selangor kini menjadi mercu tanda sektor pembuatan, penyelidikan dan perkhidmatan aeroangkasa yang mampu menarik penggiat industri di peringkat antarabangsa.

Beliau juga menyaksikan sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) berkait pembangunan Taman Aero Selangor (SAP) antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dengan enam penggiat industri aeroangkasa iaitu SIMAero, Sir Ventures, Dviation Group, Bibus Metals, Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) dan Subang MRO.

Menyasar potensi nilai transaksi RM700 juta untuk penganjuran acara kali ini, negara terlibat antaranya Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Singapura, Australia dan Hong Kong dengan sasaran lebih 20,000 pengunjung.

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri menggalak pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.


Pengarang :