PETALING JAYA, 22 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membelanjakan lebih RM500,000 bagi membantu mangsa bencana di negeri ini.
Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) Ahmad Azri Zainal Nor berkata jumlah itu adalah sebahagian peruntukan RM1 juta untuk golongan terbabit bagi tahun ini.
“Dalam tempoh sebulan dua ini banyak bencana ribut berlaku di Selangor dan MBI sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan mana-mana isu bencana yang sedang atau kemungkinan berlaku.
“Setakat ini lebih setengah juta ringgit kita salurkan daripada sudut sumbangan ehsannya, gantian bumbung sama ada di rumah atau pangsapuri dan beberapa keperluan lain, memang MBI antara agensi pertama yang menghulurkan sumbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa ribut di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Kota Damansara di sini semalam.

Terdahulu, 21 peniaga di Seksyen 8 Kota Damansara masing-masing menerima RM250 manakala RM10,000 diberi kepada wakil badan pengurusan bersama (JMB) Pangsapuri Gugusan Dahlia Baharudin Abd Hamid. Serahan dibuat Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Izuan Kasim.
Anak syarikat Kerajaan Negeri itu melaksanakan pelbagai aktiviti CSR tahun ini antaranya agihan haiwan korban, mahabbah haji dan program tuisyen rakyat.
Pemerbadanan itu juga mengagihkan RM2.8 juta bagi membantu mangsa banjir dan sumbangan kepada Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit selain membelanja RM28 juta bagi menjalankan program kebajikan dan inisiatif memerangi Covid-19.