Suasana kiosk jualan yang menempatkan 25 usahawan berdaftar bawah Platform Selangor di Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam ketika tinjauan Selangorkini pada 8 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MBI beri peluang 25 usahawan PLATS berniaga di pameran udara Selangor

SHAH ALAM, 9 SEPT: Seramai 25 usahawan yang berdaftar di bawah Platform Selangor (PLATS) diberi peluang berniaga di Pameran Udara Selangor 2023 (SAS 2023) di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong di sini.

Pengurus Projek PLATS berkata usahawan terlibat berpeluang memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung acara bertaraf antarabangsa yang berlangsung sepanjang tiga hari sejak 7 September.

Pengurus Projek Platform Selangor Hazwani Sabudin ditemui di Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 8 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kesemua 25 usahawan ini dibawa oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membabitkan 10 peniaga makanan dan minuman manakala selebihnya perniagaan barangan.

“MBI juga memberi subsidi untuk tapak berniaga bagi membantu usahawan berkenaan memulakan langkah pertama sertai acara berprestij,” kata Hazwani Sabudin ketika ditemui di pameran berkenaan semalam.

Teruja diberi kesempatan berniaga di SAS 2023, pengusaha katering El-Nikmat Adlil Rizwan Mohd Nasir  memanfaatkan peluang berkenaan untuk memperkenal dan melebarkan lagi perniagaannya.

Pemilik katering El Nikmat Adlil Rizwan Mohd Nasir menunjukkan sandwich yang dijualnya di Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 8 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya mula mengusahakan katering sejak 2019 selepas berhenti bekerja sebagai chef selama 15 tahun.

“Apabila mengetahui ada peluang di pameran, saya terus mendaftar di PLATS dan alhamdulillah diberi peluang untuk sertainya,” katanya yang turut berhasrat menambah jualannya susulan sambutan baik selain menjangkakan pengunjung mencecah hingga 20,000 pada hari terakhir.

Diperkenal pada 2020, PLATS melaksanakan bazar Ramadan digital pertama di Malaysia bagi membantu penjaja kecil yang terjejas pendapatan susulan penularan wabak Covid-19.

Inisiatif itu diperluas setahun kemudian bagi membantu peniaga sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja dan diteruskan sehingga kini dengan kerjasama agensi berkaitan.

 


Pengarang :