Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir (dua, kiri) bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor Mohd Hasry Nor Mohd (dua,kanan) menunjukkan memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani ketika Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 25 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ, MPHS meterai kerjasama laksana program bandar mampan

PETALING JAYA, 26 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi pelaksanaan program bandar persahabatan.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata kerjasama itu memberi peluang kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengadakan program persahabatan bandar meliputi pelbagai bidang.

“MoU ini juga selaras aspirasi MBPJ mewujudkan bandar raya pintar, mampan dan berdaya tahan selain meningkatkan prestasi MBPJ menerusi penyertaan masyarakat.

“Ia termasuk rakan perkongsian yang inklusif dan amalan terbaik bagi memberi perkhidmatan terbaik untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Terdahulu, MoU itu ditandatangani Mohamad Azhan bagi pihak MBPJ manakala MPHS diwakili Yang Dipertuanya Mohd Hasry Nor Mohd sempena majlis apresiasi Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama 2023 di sini malam tadi.

Program bandar persahabatan membabitkan pelan strategik bandar raya mampan, tadbir urus baik, kompetensi warga kerja, kepimpinan pelajar, komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu, keusahawanan dan ekonomi, kesenian, kebudayaan dan pelancongan, inovasi dan kreativiti serta hal ehwal lain dipersetujui bersama.

Sejak 2013, MBPJ melaksanakan program bandar persahabatan dengan beberapa bandar merangkumi Asan City dan SeongBuk Gu, Korea Selatan; Kota Bandung, Indonesia dan Qinyuan City, China.

Bandar lain termasuk Miyoshi Town, Jepun dan Kuala Terengganu, Malaysia.

Sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir dengan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor Mohd Hasry Nor Mohd ketika Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 25 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :