Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman bercakap kepada media selepas majlis perasmian Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam ke-27 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 26 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA persiap anggota, aset depani kemungkinan bah hujung tahun

SHAH ALAM, 26 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersiap siaga dengan keanggotaan dan aset bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di kawasan pentadbirannya hujung tahun ini.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman berkata pasukan Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) kini beroperasi 24 jam setiap hari dan sedia digerakkan ke kawasan berisiko bah.

Beliau memaklumkan MBSA turut meletakkan 145 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tumpuan yang dihubungkan dengan pusat kawalan operasi bagi memantau banjir dan pembuangan sampah haram.

“Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 445 CCTV selain 50 daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan. Bagi kelengkapan aset pula, kita menambah dua lagi bot sebagai persediaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Ke-27 yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali di Pusat Konvensyen MBSA di sini hari ini.

Dalam pada itu, Cheremi turut memohon Jabatan Pengairan dan Saliran supaya memastikan dua kolam takungan banjir berhampiran kawasan perumahan TTDI Jaya dan Ara Damansara berfungsi dengan baik.

“Apabila hujan lebat, air di kawasan sekitar akan bertakung, oleh itu dengan adanya kolam takungan ini mengurangkan kesan banjir di Sri Muda dan sekitar stadium di Seksyen 13.

“Malah, kita juga memohon kerjasama daripada Jabatan Pengairan dan Saliran untuk menyegerakan pembinaan ban di sepanjang Sungai Damansara dan Sungai Klang,” katanya.

Fasa peralihan monsun daripada Monsun Barat Daya ke Monsun Timur Laut bermula pada 19 September dan berterusan sehingga November depan.


Pengarang :