Datuk Bandar Shah Alam (MBSA) Dr Nor Fuad Abdul Hamid dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah melawat pameran selepas perasmian Persidangan Antarabangsa Eastern Asia Society For Transportation Studies (EASTS) ke-15 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, Shah Alam pada 4 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA sasar capai status bandar raya mesra pengangkutan menjelang 2035

SHAH ALAM, 5 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mencapai status bandar raya mesra pengangkutan menjelang 2035.

Datuk Bandar Shah Alam berkata antara inisiatif yang diambil termasuklah menyediakan ruangan penggunaan kenderaan mikromobiliti sepanjang 2,000 km di jalan perbandaran.

“Kita galakkan penggunaan kenderaan mikromobiliti sebagai trend pengguna jalan raya. (Setakat ini), 500km jalan selesai lalui proses kecerdasan buatan (AI) sebagai ujian pelaksanaan.

“Sasaran kumpulan utama untuk penggunaan mikromobiliti adalah warga emas memandangkan jumlah populasi golongan ini 10 peratus dari 800,000 penduduk di Shah Alam,” katanya semalam.

Datuk Bandar Shah Alam (MBSA) Dr Nor Fuad Abdul Hamid berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Eastern Asia Society For Transportation Studies (EASTS) ke-15 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, Shah Alam pada 4 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Eastern Asia Society For Transportation Studies (EASTS) ke-15 di Pusat Konvensyen MBSA di sini, Dr Nor Fuad Abdul Hamid menjelaskan pihaknya dalam proses mengubah suai landskap bandar untuk penggunaan skuter elektrik.

Selain itu, beliau berkata dua stesen transit aliran ringan di laluan Persiaran Dato’ Menteri dan Stadium Shah Alam yang bakal siap tahun depan meningkatkan capaian pengangkutan awam.

EASTS ke-15 anjuran MBSA yang bermula semalam disertai 700 peserta dari dalam dan luar negara antaranya termasuklan Korea, Jepun, Amerika Syarikat, Sri Lanka dan Taiwan.

Berlangsung selama empat hari, persidangan berkenaan menumpukan isu dan hala tuju sektor pengangkutan selain mengenal pasti teknologi terkini yang digunakan.


Pengarang :