PBTSELANGOR

MBSJ anjur kejohanan lumba basikal Ahad ini, pendaftaran masih dibuka

SUBANG JAYA, 26 SEPT : Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menganjurkan perlumbaan basikal jalan raya ‘Selangor Criterium Series ‘ pada 1 Oktober ini.

Datuk Bandar Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata kejohanan yang diasaskan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah itu turut mendapat kerjasama Persatuan Berbasikal Negeri Selangor dan Selangor Youth Community.

“Kejohanan ini terbahagi kepada dua siri. Bagi siri satu, ia akan diadakan pada 1 Oktober ini bersama dengan Hari Tanpa Kenderaan di Jalan SS 16/1 berhadapan Aeon Big Subang bermula jam 7 pagi.

“Siri kedua pula bakal dianjurkan pada Disember ini yang mana DYTM Tengku Amir Shah turut dijangka berkenan berangkat pada hari berkenaan,” katanya ketika Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 9/2023 di sini hari ini.

Beliau berkata mereka yang ingin mengambil bahagian boleh mendaftar menerusi cyclingselangor.com.my sebelum atau pada 28 September ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi pelbagai acara menarik turut diadakan sempena Hari Tanpa Kenderaan Ahad ini antaranya acara memanah, bola sepak jalanan, pemeriksaan kesihatan dan mata percuma, refleksologi dan cabutan bertuah.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mempelawa penduduk kawasan itu untuk memeriahkan Karnival Bandaraya Subang Jaya pada 20 hingga 22 Oktober ini.


Pengarang :