Ribuan pengunjung pelbagai bangsa membanjiri padang Dataran Kemerdekaan Shah Alam untuk meraikan sambutan ambang Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri pada 30 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Merdeka cermin jati diri, bina negara bangsa bermaruah

Oleh Dato’ Seri Amirudin Shari

Sambutan kemerdekaan setiap tahun pada tengah malam 30 Ogos antaranya kerana ia suatu homage, kepada penurunan Union Jack pada 12 tengah malam 30 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor yang sekarang kita kenali sebagai Dataran Kemerdekaan. Bendera Persekutuan Tanah Melayu kemudiannya dinaikkan oleh Tahir Abdul Majid seraya itu lagu Negaraku dinyanyikan buat kali pertama. Sejurus kemudian laungan “Merdeka” dilontarkan sebanyak 7 kali.

Tujuh sebagai angka ganjil juga dengan izin Allah SWT diberkati-Nya. Malahan diriwayatkan kepada kita bahawa Nabi SAW pernah bersabda, “Allah SWT itu witir (ganjil/tunggal) dan Dia menyukai bilangan yang ganjil.”

Meminjam ungkapan perdana menteri India pertama Jawaharlal Nehru dalam ucapannya yang berjudul A Tryst With Destiny, “at the stroke of midnight hour, when the world sleeps” generasi ayah-ibu kita menyambut kemerdekaan dengan rasa penuh bangga.

Waima begitu, Union Jack diturunkan buat kali pertama bukanlah pada tengah malam 31 Ogos di padang Kelab Selangor. Pada petang hari bersejarah itu, jam 6.30, bendera penjajah keparat itu diturunkan di Bandar Hilir Melaka bagi menandai serta memaknai berakhirnya penjajahan pentadbiran British 133 tahun terhadap Melaka.

Kita juga diberitahu bahawa tarikh kemerdekaan 31 Ogos 1957 dicadangkan oleh ulama Shaykh Abdullah Fahim. Menurut beliau jika kita gagal memperolehi kemerdekaan pada tarikh ini, seeloknya pula pada 31 Ogos 1962.

Begitulah beberapa peristiwa yang melatari sambutan Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan ini.

Rakyat berbilang bangsa tidak melepaskan peluang memeriahkan sambutan ambang Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Hari Malaysia

Kita tidak melupakan juga sahabat-sahabat dan saudara kita dari seberang di bumi Sabah dan Sarawak, kerana lebih kurang enam tahun kemudian, dan kira-kira dua minggu dari sekarang, kita menyambut Hari Malaysia, pembentukan sebuah negara di Asia Tenggara yang akan berusia 60 tahun tidak lama lagi.

Menjelang Hari Kebangsaan, sejarah menjadi suatu subjek yang sangat penting. Bukanlah sebelum ini ia tidak mustahak. Akan tetapi acapkali masyarakat kita menanggapi sejarah sebagai suatu subjek pinggiran. Kita sendiri dan kemudiannya mengajar anak-anak kita bahawa subjek sejarah hanyalah untuk lulus peperiksaan.

Kita tidak menerapkan dalam sanubari kita serta fikiran anak-anak bahawa dengan menekuni sejarah, kita berkemampuan, paling tidak memahami latar serta masyarakat kita.

Sebagaimana yang ditekankan oleh filasuf Inggeris, RG Collingwood, “What does it mean to understand the past historically?” Apakah maknanya untuk memahami masa lalu sebagai sejarah.

Saya teruja dengan Collingwood kerana selain sebagai seorang filasuf Inggeris yang unggul di Oxford sekitar 1950-an dan 1960-an, beliau sangat tajam menanggapi sejarah.

Beliau mengkritik mazhab sejarah yang fanatik mahu menanggapi serta memahami peristiwa menerusi kaedah positivistik atau saintifik. Collingwood mengkritik sikap semberono mahu menggunakan kaedah saintifik terhadap sejarah dan beranggapan bahawa sejarah pastinya akan berulang seakan-akan suatu kitaran. Collingwood menolak apa yang kita kenali kemudiannya sebagai dialetika termasuklah dialetika kelas.

Menekuni Collingwood mengingatkan saya kepada Karl Popper dalam The Poverty of Historicism dan karya Ibnu Khaldun.

Collingwood dalam antara magnum opus beliau The Idea of History tidak mahu kita meremehkan mereka yang meriwayatkan sejarah atau tawarikh kepada kita.

Kepada beliau bukan tugas ahli sejarah untuk bersikap judgmental dan bias serta prejudis terhadap testimoni para penulis tawarikh lalu keterlaluan menolak mereka sebagai penipu atau penganyam mitos.

Hikayat Hang Tuah

Justeru terdetik dalam fikiran saya apabila membaca Hikayat Hang Tuah beberapa ketika dahulu. Fikiran muda saya, walaupun kini bukanlah saya ini tua sangat, cuma rambut putih semakin bertambah, akan buru-buru menolaknya sebagai karya mitos sehinggakan tidak berlapang dada menekuninya sebagaimana Collingwood anjurkan mahupun sepertimana Ibnu Khaldun cerakinkan.

Mengulang-baca Hikayat Hang Tuah daripada sudut pandang penulisnya maka kita berupaya memahami hikmah yang begitu dalam mengenai kekuasaan, perihal politik, perihal kenegaraan dan tata keadilan serta kecekalan memastikan keunggulan negara hukum.

Sekiranya kita menjadi kerdil, mahu menghukum Hang Tuah ini mitos, atau terburu-buru radikal mahu menjulang Jebat sebagai wira, maknanya kita gagal menggali khazanah serta hikmah bangsa ini.

Hikayat Hang Tuah mengajar kita, mengajar saya, sekiranya penguasa atau pemerintah terbabas dari landasan syarak, landasan undang-undang, mudah dikuasai hawa nafsu, nipis telinga mendengar adu-domba makanya haru-birulah kesentosaan negeri.

Hikayat Hang Tuah juga mengajar kita bahawa cekalnya menjadi bendahara. Meniti di antara kesetiaan dan kemakmuran rakyat. Betapa liciknya bendahara kerana menyembunyikan Hang Tuah. Betapa beraninya bendahara “derhaka” akan perintah Sultan Mansur Syah demi kemaslahatan rakyat, negeri hatta demi kebaikan Tuanku Sultan Melaka itu sendiri.

Ia juga mengajar kita bahawa kritikan adalah dibenarkan, namun cara Jebat adalah salah. Sebarang ketertiban kritikan bukan dengan kegilaan Jebat.

Menganggu-gugat keamanan negara sama sekali tidak ditolak ansur. Kegilaan, melampaui batas, radikalisme Jebat tidak boleh menjadi pegangan. Melawan kezaliman bukanlah bererti mencetuskan kacau-bilau dan pemberontakan.

Penulis Hikayat Hang Tuah juga menyerlahkan ketaasuban Hang Tuah yang setia membuta tuli. Penulis Hikayat Hang Tuah – yang sehingga sekarang tidak ketahui siapa – menjadikan karya beliau sebagai wahana mengkritik sikap pahlawan terbilang itu.

Kendati pun keberanian dan kesetiaan tersebut dijulang, penulis memaparkan kepada kita bahawa “the triumph of intelligence over brute power”. Ini mirip juga dengan keunggulan Odysseus ke atas Achilles. Kemenangan kecerdikan dan kebijaksanaan atas kekuatan berlawan semata-mata. Jangan lupa, kisah klasik China, San Guo Yan Yik, Babad Tiga Negeri juga menjulang watak bijaksana seperti Zhuge Liang.

Justeru bagi saya hikmah yang ada pada penulis hikayat itu sendiri yang mengkagumkan. Penulis yang diandaikan menulis pada abad ke-18 menyembunyikan dirinya di sebalik segala macam watak. Beliau bukan sahaja licik bahkan berani merakamkan kerakusan penguasa, radikalisme Jebat yang merosak negara manakala kelicikan Bendahara menggunakan Tuah untuk mengembalikan keamanan.

Watak-watak itu semua ada kelebihan dan kekurangannya. Namun apa yang perlu adalah membacanya dengan lebih dalam untuk menggali pedoman dari kebijaksanaan penulis tersebut.

Sang penulis Hikayat Hang Tuah itulah dalam diam, halus, kesusasteraan mengajar kita antara statecraft terawal orang Melayu dan saya yakin masih relevan untuk kita renungi bagi menyambut Hari Kemerdekaan ini.

Angkatan Tentera Malaysia melakukan perarakan sempena ambang Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Perlembagaan Persekutuan

Hari Kebangsaan dan sambutan Hari Kemerdekaan adalah tarikh yang memisahkan kita dengan penjajah, yang merobohkan jeriji penjajahan yang sekian lama memenjarakan jiwa kita. Namun kemerdekaan bukanlah ia bererti kita memutuskan diri dengan sejarah.

Kita bersyukur kerana para pejuang kemerdekaan, memahami tiada keperluan untuk bersikap melampau seperti rejim Pol Pot yang menzalimi rakyat sendiri semata-mata mahu menwujudkan masyarakat baharu dengan kebudayaan serta keyakinan baharu – yang terputus daripada sejarah.

Faham sejarah seperti yang dianuti Pol Pot inilah dikritik pemikir seumpama Collingwood dan Karl Popper.

Kita bersyukur kerana kebijaksanaan mengatasi rasa amarah dan pemberontakan. Pemimpin, cendekiawan, umara’ dan ulama, bersatu hati dan tekad mahukan kemerdekaan.

Makanya membangunkan negara yang baru sahaja mengecapi kemerdekaan dan kemudiannya pada 1963, bergabung pula dengan Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia, memerlukan beberapa asas, yang mana di antaranya Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Perlembagaan Persekutuan itulah tertuangnya asas-asas yang terpaut dengan sejarah dan kesedaran serta kebijaksanaan terutamanya orang Melayu.

Perlembagaan memastikan keistimewaan orang Melayu tidak boleh digugat. Di antaranya kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agama Islam sebagai agama persekutuan. Hadir bersamanya juga hak-hak rakyat negara ini sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 5 sehingga 11 Perlembagaan Persekutuan.

Sejak detik itu sehingga kini, pelbagai musim dan situasi serta perubahan yang telah kita lalui, secara individu mahupun bersama.

Dan setiap sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan bukan sahaja satu peluang untuk kita memperingati pengorbanan terutamanya daripada pasukan keselamatan, tentera, yang memainkan peranan begitu penting untuk menegakkan maruah bangsa dan memperjuangkan kedaulatan tanah yang kita cintai ini.

Tetapi setiap sambutan Hari Kebangsaan adalah satu peluang mencermin diri; satu peluang untuk kita merenung dan bermuhasabah. Bukan sekadar mengenang pengalaman hidup kita secara peribadi setelah berlalunya satu tahun, tetapi turut muhasabah dan menilai kembali kedudukan negara di pelantar global dan peranan kolektif kita sebagai warga sebuah negara yang bernama Malaysia.

Rekonsiliasi nasional

Di Selangor, kita baru melalui satu proses pemilihan yang agak sengit dan bersifat keras disebabkan beberapa pihak yang bertindak melampaui batas sehingga mengabaikan dan melupakan adab.

Walaupun proses itu selesai, tidak bermakna segala yang berlaku itu boleh dihalalkan ataupun dilupakan terutamanya jika masih lagi ada watak yang menganggap politik sebagai satu zero sum game.

Politik dan praktis proses demokrasi bukan sebuah keadaan pemenang-bolot-semua dan tidak boleh wajar dijadikan zero sum game. Seperti setiap aspek kehidupan lebih-lebih lagi kehidupan bermasyarakat di Malaysia, harus ada kesederhanaan dan masing-masing perlu menyedari batasnya kerana kita semua merupakan warganegara dan anak Malaysia.

Kini, tiba masanya untuk satu proses rekonsiliasi nasional yang harus dicapai oleh pimpinan negara dan masyarakat. Proses rekonsiliasi atau ta’lif ini bertujuan mengurangkan ketajaman yang kita lihat sejak tragedi ketidakbertanggungjawaban Februari 2020 yang mengabaikan proses demokrasi dan menafikan penglibatan serta peranan langsung rakyat dalam menentukan masa depan negara.

Pada masa yang sama, kita harus mengelak tyranny of the majority dan tyranny over minorities yang disebut oleh filasuf Perancis Alexis de Tocqueville daripada sekali-kali terjadi di bumi bertuah ini.

Demokrasi bukan kepunyaan ahli-ahli politik ataupun pimpinan-pimpinan parti, sepertimana kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu bukan milik Bapa Kemerdekaan Malaysia sahaja tetapi juga dicapai melalui peranan setiap rakyat Malaysia yang hidup dan berjuang pada ketika itu.

Dan pengertian baharu kemerdekaan diwariskan kepada kita generasi hari ini bagi mengisi dan melakar masa depan negara kita dengan tangan kita sendiri.

Soalan di hadapan kita semua dan harus dirungkai serta dijawab adalah apakah jenis negara bangsa yang ingin kita bina dan realisasikan apabila Malaysia mencapai usia 100 tahun nanti?

Dan apakah peranan yang dapat kita mainkan sebagai rakyat negara ini? Adakah kita dapat menyemai sikap dan memperkasakan maruah, membangunkan ekonomi bermaruah yang memberi peluang untuk kita sebagai rakyat Malaysia bersaing di pelantar global?

Ataupun kita akan berpuas hati sekadar menjadi jaguh kampung sambil melihat negara-negara jiran bukan sahaja mendahului tetapi meninggalkan kita jauh di belakang?

Bina negara bangsa

Ini bukan persoalan memilih ahli politik ataupun parti politik tetapi soal nilai dan akhlak, soal survival negara, soal membaiki dan membina asas negara, soal membina negara bangsa yang bermaruah, soal kejayaan negara. Ini cabaran kita sebagai rakyat Malaysia.

Tidak memadai untuk kita hadir dan berkumpul hari ini, memakai baju kebangsaan dan mengibarkan bendera sambil merasa kerja dan tanggungjawab kita dalam membina negara telah selesai.

Meskipun kita telah keluar daripada cengkaman siri penjajahan fizikal luar negara, kita sedang menghadapi ancaman penjajahan daripada kelompok yang ingin mengambil kesempatan atas keresahan kita, ingin memundurkan lagi negara ini sambil mengisi poket dan perut segelintir pihak. Sebagai rakyat dan warganegara Malaysia, kita jangan lalai, kita harus peka terhadap agenda dan perbuatan kumpulan sebegini.

Malaysia tidak akan mampu berjaya jika negara ini hidup dalam kacau-bilau serta perpecahan. Kerencaman dan perbezaan kita yang semula jadi adalah kekuatan kita.

Indoktrinasi yang bercanggah dan sedang cuba disebarluaskan oleh beberapa pihak harus kita beranikan diri, bangkit dan lawan. Jangan biar jiwa dan minda kita dijajah oleh perbuatan syirik sebegini.

Kita di Selangor dan Malaysia adalah rakyat yang bermaruah, rakyat yang mampu berfikir, rakyat yang mempunyai jati diri dan asas kukuh untuk berjaya secara kolektif.

Itulah cabaran yang berada di hadapan kita pada hari ini sebagai rakyat Malaysia. Percayalah. Jika kita dapat berganding bahu, bersama-sama, dan dengan satu suara menyatakan komitmen untuk maju ke depan sambil memanfaatkan perbezaan unik antara kita, percayalah.

Saya yakin apabila tibanya tanggal 31 Ogos 2057 dan 2063, kita bukan lagi dilihat sebagai satu negara biasa di Asia Tenggara yang terletak di antara Singapura dan Thailand.

Saya yakin, Malaysia akan menjadi antara negara yang gagah dan dihormati di Asia dan di pelantar dunia.


Pengarang :