Logo Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 digambarkan pada bangunan Pulse, ibu pejabat jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik Paris ketika tinjauan pada 20 Jun 2023. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Misi capai emas dalam Olimpik Paris, Los Angeles diperhebat

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Usaha mempersiapkan pasukan atlet negara bagi mencapai Misi Emas (Road to Gold) pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028 akan diperhebat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sukan terbukti berjaya memupuk perpaduan dan membina masyarakat yang aktif serta sihat dan rentetan itu, kerajaan akan melaksanakan lebih banyak program sukan di peringkat komuniti.

“Sehubungan itu, peruntukan RM40 juta disediakan kepada persatuan sukan komuniti berdaftar bagi menganjurkan acara sukan,” katanya ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Anwar berkata pembangunan industri kreatif akan didukung sebagai industri strategik berimpak tinggi dan beberapa langkah bakal diambil termasuk memperkukuh tata kelola, membangunkan analitis data raya berpusat serta membangunkan bakat kreatif tempatan.

Katanya kerajaan juga menyediakan dana berjumlah RM346 juta dalam tempoh RMK12 terutama untuk menarik penglibatan golongan belia dalam aktiviti kreatif yang menawarkan pendapatan yang tinggi

Anwar berkata pembangunan industri kreatif sebagai aktiviti strategik berimpak tinggi akan menjadi pelengkap kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Bagi meningkatkan kebolehpasaran golongan belia yang menganggur dan terlibat dalam sektor pekerjaan tidak formal, Perdana Menteri berkata kerajaan akan meluncurkan Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia.

Katanya golongan berkenaan akan dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran bagi meningkatkan potensi keterlibatan dalam kegiatan berkaitan teknologi agar dapat menjana pendapatan lebih tinggi.

“Pada suku kedua 2023, kadar pengangguran dalam kalangan belia berusia 15 hingga 24 tahun berada pada tahap membimbangkan iaitu sebanyak 10.7 peratus,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata inisiatif Rakan Muda yang telah diberikan nafas baharu akan dipergiat bagi memberikan tumpuan kepada peningkatan literasi demokrasi dan kegiatan permotoran selain membangunkan potensi belia yang merupakan pewaris masa depan negara.

-BERNAMA

 


Pengarang :