MPANG JAYA, 24 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) disaran mengajurkan hari khas bagi mengutip barangan kitar semula di kawasan pentadbirannya.
Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail berkata usaha itu bagi mendidik dan menyokong penduduk untuk lebih berdisiplin dengan menggunakan kaedah yang betul ketika membuat pengasingan sampah.
“Berdasarkan pengalaman saya sendiri di rumah jika kita sudah asingkan barang yang boleh dikitar semula sudah pasti kita tidak mahu sampah itu kembali bercampur dengan sisa lain.
“Jadi kalau boleh kita usahakan di peringkat MPAJ diwujudkan satu hari contohnya Ahad untuk dibuat kutipan sampah kitar semula sahaja. Jadi penduduk tahu dan hanya sampah itu akan diletakkan di luar rumah pada hari yang berkenaan.
“Perkara ini saya sudah dilaksanakan bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejak dua tahun lalu ketika saya menjadi Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga dan ia ternyata menggalakkan penduduk untuk membuat pengasingan di punca,” katanya.

Ditemui selepas merasmikan program Gotong-Royong Perdana sempena sambutan Hari Pembersihan Sedunia 2023 semalam, Rodziah berkata budaya itu sekali gus membantu mengurangkan kos pengurusan sampah.
“Budaya kitar semula mesti dipupuk bermula dari rumah dan akhirnya kita boleh bantu pihak majlis pastikan kos pengurusan sampah dikurangkan dan pendapatan disalurkan untuk aktiviti pembangunan rakyat terutama dalam menyediakan infrastruktur awam yang lebih baik.
“Kalau MPAJ boleh usahakan perkara ini mungkin dengan adakan kerjasama bersama beberapa pihak (ia sangat baik). Apa yang penting penduduk rasa memudahkan mereka dan akhirnya menyokong budaya kitar semula,” katanya.