Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali ketika bertemu pengamal media selepas Program Humanitarian In Operations Training and Rakan Nadma Disaster Emergency Simulation Exercise (Randex) 2023 di Putrajaya pada 22 September 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Nadma diarah pantau 89 lokasi berisiko banjir susulan fasa peralihan monsun

PUTRAJAYA, 22 SEPT: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) diarahkan untuk menumpu kepada 89 titik panas (hotspot) yang dikenal pasti sebagai daerah berpotensi dilanda banjir khususnya di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata fasa peralihan monsun sudah bermula pada 19 September lalu dan bencana banjir dilaporkan berlaku di lima negeri membabitkan tujuh daerah dengan 589 mangsa.

Beliau berkata 89 daerah itu pernah terlibat dengan bencana banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 dan 77 daerah daripada jumlah itu, berdepan dengan kejadian banjir berulang lebih sekali.

“Banjir berulang lebih sekali ini boleh berlaku sama ada di lokaliti kampung sama atau berbeza dalam daerah sama,” katanya pada majlis penutup Program Humanitarian in Operations Training And Rakan Nadma Disaster Emergency Simulation Exercise (Randex) 2023, di sini hari ini.

Armizan berkata Nadma diarahkan untuk memastikan jawatankuasa pengurusan bencana peringkat daerah di 89 hotspot itu bersiap siaga daripada segi koordinasi, komunikasi dan kebersamaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri dan daerah.

“Nadma juga diarahkan untuk memaklumkan kepada semua daerah agar melaksanakan mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana dengan segera termasuk melibatkan wakil rakyat tanpa mengira parti untuk pelaksanaan persiapan khusus di daerah berisiko tinggi dilanda banjir,” katanya.

Armizan berkata Nadma sedang melaksanakan libat urus untuk membuat semakan kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No 19 dan 20 serta memperkenalkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana.

Beliau berkata sekiranya perlu, akta khusus pengurusan bencana akan diwujudkan bagi memastikan kerangka perundangan yang lengkap.

Inisiatif itu, katanya adalah susulan komitmen kerajaan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) yang menekankan aspek pengurusan bencana sebagai teras penting menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

– BERNAMA


Pengarang :