Pengunjung membeli pelbagai barangan keperluan asas di Jelajah Ehsan Rahmah (JER) DUN Hulu Kelang di dewan serba guna MPAJ AU2, Ampang pada 24 September 2023. Foto Norrasyidah Arshad/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Orang ramai teruja kunjungi jualan murah, beratur seawal 6.30 pagi

AMPANG, 24 SEPT: Jelajah Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang di dewan serba guna MPAJ AU2, di sini hari ini dikunjungi orang ramai seawal jam 6.30 pagi lagi.

Penyelaras program Mohd Nazif Zulkifli berkata kupon pembelian hanya diagih pada jam 8 pagi dan pengunjung beratur hampir dua jam awal.

“Lepas dapat kupon, ada yang sanggup menunggu dua jam kerana kaunter jualan hanya dibuka pada 10 pagi. Ini menunjukkan penduduk menanti program ini kerana harga lebih murah dan menjimatkan belanja.

“Sekarang permintaan beras tinggi mungkin disebabkan isu bekalan di pasaran. Selalunya bawa 200 kampit tetapi sekarang 300 kampit. Sekarang harga beras di JER RM13, masih rendah berbanding pasaran,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu kakitangan awam Norafidatul Asnida Dahlan,38, berkata beliau selalu menunggu sehingga program jualan tamat bagi membeli produk yang tidak habis dijual.

“Saya tak sempat datang awal ambil kupon. Jadi saya terpaksa tunggu jualan tamat kerana selalu ada produk tak habis dijual.


Kakitangan awam Norafidatul Asnida Dahlan,38, antara pengunjung Jelajah Ehsan Rahmah (JER) DUN Hulu Kelang di dewan serba guna MPAJ AU2, Ampang pada 24 September 2023. Foto Norrasyidah Arshad/SELANGORKINI

“Walaupun terpaksa menunggu tapi ia berbaloi. Harga murah dan barang berkualiti. Harap lepas ini lebih banyak bekalan dibawa dan ramai boleh beli,” katanya.

Suri rumah Rashidah Khamis,54, berkata dia sanggup pergi ke JER sekitar Ampang bagi mendapatkan barangan keperluan memandangkan harga murah berbanding pasaran.

Jelasnya langkah itu demi memastikan bekalan keperluan dapur mencukupi memandangkan isi rumah ramai.

“Kalau beli di JER ada had, tak boleh beli kuantiti banyak. Jadi kena pergi selalu. Semalam saya beli di AU5. Hari ini di sini pula,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Selangor membelanjakan subsidi RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :