SHAH ALAM, 15 SEPT : Seorang peniaga dikompaun oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) kerana menjalankan aktiviti menyimpan dan membaiki jentera berat tanpa lesen.
MPK menerusi Facebook memaklumkan ketika serbuan ke premis di Jalan Benteng, Kampung Perepat, Klang mendapati kerja membaiki jentera sedang dijalankan.
“Siasatan selanjutnya mendapati premis ini beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah dari MPK. Justeru, sebanyak dua kompaun dikeluarkan kepada pemilik.
“Setiap kompaun bernilai RM1,000 dan sekiranya gagal menjelaskan bayaran dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis, tindakan mahkamah akan dikenakan,” katanya.
MPK memaklumkan peniaga berkenaan dikenakan kompaun mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3, UUK Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MPK) 2007.
