Usahawan tekstil, Ili Farhana Norsilan bersama suami, Mohd Hafiezzul Rahiman menunjukkan antara pakaian patriotik yang dihasilkan mereka ketika ditemui di premis pasangan itu di Jalan Universiti Bangi 1, Taman Universiti Bangi pada 5 September 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Pakaian tema patriotik pupuk semangat cintai negara, jadi pilihan bulan kemerdekaan

Bermula menjahit baju anak untuk merai Hari Kebangsaan di sekolah, usahawan tekstil Ili Farhana Norsilan kini mengeluarkan pakaian tema patriotik untuk dijual kepada orang ramai.

Suami Hafiezzul Rahiman, 33, turut membantu ibu dua anak perempuan itu menghasilkan pakaian tema patriotik di kilang milik perniagaannya di Hulu Langat sejak 2022.

“Saya dapat idea buat baju bertema patriotik sebab anak mahu pakai baju tema merdeka ke sekolah. Susah hendak cari yang sesuai, akhirnya kami buat sendiri. Dari situ kami dapat idea keluarkan baju tema merdeka,” kata anak kelahiran Labohan Dagang, Kuala Langat itu ketika ditemui, pada 7 September.

Dilengkapi peralatan serba moden, kilangnya membuat kebaya, luna dress, peplum melor, set Laksamana, set Tun Teja, set Sri Kandi, set Kuntum dan set Tuah.

Dijual antara RM59 hingga RM70 untuk kanak-kanak dan dewasa berharga RM120, set kebaya, set Laksamana dan set Tuah paling mendapat sambutan.

Wanita berusia 36 tahun itu menyedari potensi pasaran kerana ramai orang memakai baju tema patriotik setiap kali sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Usahawan pengeluar pakaian bertema patriotik, Ili Farhana Norsilan menyiapkan tempahan pelanggan ketika ditemui di premisnya di Jalan Universiti Bangi 1, Taman Universiti Bangi pada 5 September 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Khususnya golongan ibu bapa paling teruja mengenakan baju tema itu kepada anak-anak mereka, sekali gus memupuk generasi baharu mencintai negara.

Ada baju fesyen pasukan keselamatan semasa zaman darurat, ada baju ilham warna Jalur Gemilang dan tidak ketinggalan pakaian ala pendekar zaman kesultanan Melaka.

Malah, pelbagai pertandingan atau acara keraian membabitkan pakaian patriotik anjuran sekolah, agensi dan badan bukan kerajaan menyebabkan permintaan pakaian bertema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia meningkat saban tahun.

Guna TikTok

Mengulas lanjut, Ili Farhana berkata beliau mampu meraih RM150,000 bagi jualan baju tema itu pada musim sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Alhamdullilah jualan merdeka tahun ini sudah mencecah lebih RM150,000. Angka ini boleh meningkat lagi sampai 16 September nanti. Kami buat reka bentuk, corak ikut kehendak pelanggan sampailah siap, semua kami buat sendiri sebab itu kami boleh beri harga murah.

“Macam itu juga bila ada tempahan syarikat lain mahu tempah pukal buat baju Melayu, jersi, baju merdeka atau baju korporat jenama sendiri, kami boleh buat dengan harga berpatutan,” katanya.

Namun, lulusan Diploma Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi Mara itu meluahkan rasa kecewa apabila corak dan reka bentuk pakaian dikeluarkannya ditiru pengeluar lain termasuk syarikat besar.

“Kalau mahu tiru pun sikit-sikit sudahlah, ubahlah mana patut tetapi ini tidak, disalinnya bulat-bulat seratus peratus,” katanya kecewa.

Selain pakaian tema patriotik, produk lain turut dihasilkan seperti baju Melayu, baju kurung, baju korporat dan jersi.

Butik Perniagaan Ollies Wardrobe yang bermula sejak 2012 kini mempunyai sebuah kilang di Semenyih dan empat lagi di Bangi menggajikan lebih 50 pekerja yang mengeluarkan pelbagai jenis pakaian untuk dijual secara borong dan runcit selain mengambil tempahan pukal daripada pengeluar jenama lain.

Dilengkapi dua mesin pencetak, mesin pemanas, mesin pemotong laser dan lebih 30 mesin jahit, pakaian yang dihasilkan akan dipasar melalui 143 ejen seluruh negara menerusi aplikasi Tiktok selain jualan secara borong kepada beberapa peniaga pakaian.

Kata Ili Farhana, pada hari biasa jualan pakaiannya mampu mencecah lima angka sebulan. Jualan pakaian tertinggi pernah diraihnya semasa menjelang Ramadan dalam 2017 dan 2018, yang mencapai lebih RM500,000 sebulan.


Pengarang :