Gelagat si cilik yang sempat dirakam lensa Selangorkini sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pameran Udara Selangor bermula esok, sasar lebih 20,000 pengunjung

SHAH ALAM, 6 SEPT: Pameran Udara Selangor (SAS) edisi ketiga membuka tirai esok di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong dengan menampilkan 117 pempamer dari dalam dan luar negara.

Acara selama tiga hari hingga 9 September bertemakan ‘Satu-satunya Pertunjukan dan Perniagaan Penerbangan di Rantau ini’ dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung dalam pelbagai sektor.

Menyasar potensi nilai transaksi RM700 juta untuk penganjuran acara kali ini, negara terlibat antaranya Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Singapura, Australia dan Hong Kong.

Bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, SAS akan mempamerkan 40 pesawat statik pelbagai jenis antaranya pesawat peribadi dan sukan selain memperkenal aktiviti baharu.

Acara baharu termasuk sukan udara dron dan karnival kerjaya melibatkan 20 syarikat penerbangan, yang akan memberi khidmat nasihat bagi menjalani sesi temu duga selain latihan komunikasi.

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Pada Mac lalu, bekas EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim menyasarkan potensi pelaburan sebanyak RM2 bilion dapat dicapai menerusi penganjuran acara tahunan tersebut.

Acara tahun lalu yang berlangsung pada 8 hingga 10 September mencatat potensi nilai transaksi RM1.174 bilion, manakala SAS 2021 yang julung kali diadakan merekodkan RM100 juta.


Pengarang :