OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR dan ZAREEF MUZAMMIL
SHAH ALAM, 7 SEPT: Pameran Udara Selangor (SAS) yang membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri penerbangan disasar dilaksana pada skala lebih besar menjelang 2025, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pameran yang mendedahkan orang ramai kepada dunia aeroangkasa itu turut disasar menjadi pameran udara nombor satu di rantau Asia dan Asia Tenggara menjelang 2030 daripada segi kualiti pelawat yang ditarik.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/5-1-500x333.jpg.webp)
Katanya, mengangkat tema ‘Selangor Hab Penerbangan Am dan Perniagaan ASEAN’ SAS 2023 berjaya menarik 117 pempamer dengan lebih 50 pesawat statik mengambil bahagian.
“Kita anggarkan dua tahun lagi akan buat dalam skala lebih besar dan mungkin akan berpindah daripada Subang ke Sepang.
“Sasaran kita pada 2025 dengan penyertaan lebih ramai dan aktiviti lebih padat namun tidak lari daripada bidang tumpuan SAS iaitu penerbangan am, penerbangan perniagaan, pesawat ringan dan helikopter,” katanya.
Bercakap kepada media selepas merasmikan SAS 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong di sini, hari ini Amirudin berkata penganjuran SAS bertambah baik dari tahun ke tahun.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/12-1-500x292.jpg.webp)
“Tahun ini masuk tahun ketiga kita anjurkan dengan penyertaan lebih 50 kapal terbang statik selain penyertanan pempamer yang bertambah.
“Program ini sebenarnya diperkukuhkan penyampaiannya dari tahun ke tahun yang mana tahun ini ia mengangkat tema ‘Selangor Hab Penerbangan Am dan Perniagaan ASEAN’ selaras hasrat Selangor menjadi pintu masuk ASEAN ,” katanya.
Menyasar potensi nilai transaksi RM700 juta untuk penganjuran acara kali ini, negara terlibat antaranya Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Singapura, Australia dan Hong Kong seramai 20,000 pengunjung disasar menyertai pameran itu.
Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.