SUBANG JAYA 15 SEPT: Syarikat pemaju perbandaran disaran bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi merealisasikan pembinaan pusat pembakaran mayat.
Datuk Bandar Subang Jaya menjelaskan usahasama itu dituntut berikutan kos membina krematorium yang canggih dan moden agak tinggi hingga mencecah jutaan ringgit.
“Seperti disarankan Kerajaan Negeri, PBT perlu menyediakan sekurang-kurangnya satu tempat pengebumian mayat penganut agama lain yang canggih dan moden, sama ada melalui peruntukan PBT atau mana-mana pemaju.
“Sudah tentu ia menelan perbelanjaan tinggi sehingga RM3 juta. Jadi saya minta pemaju perbandaran dapat beri kerjasama yang baik untuk menjayakan hasrat ini,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim hari ini.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Tanah Perkuburan Islam Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Putra Heights di Kampung Kuala Sungai Baru di sini, beliau berkata setakat ini MBSJ memiliki sebuah krematorium di Puchong.
Beliau berkata pihaknya merancang untuk membina satu lagi tapak pembakaran mayat yang moden bagi memenuhi keperluan penduduk.
“Setakat ini krematorium tercanggih ada di Sepang dan mereka guna teknologi yang moden untuk pembakaran mayat. Kita juga mahu lebih baik bagi memudahkan proses pengebumian,” katanya.