Temu bual Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail di Pusat Khidmat DUN Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pemimpin bakar isu kaum, agama jejas perpaduan rakyat

SHAH ALAM, 19 SEPT: Pemimpin politik harus berhenti memainkan isu sensitif terutama berkaitan perkauman dan agama bagi mengelakkan perbalahan berterusan sesama rakyat.

Sebaliknya, Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar menegaskan mereka harus menumpu usaha untuk bekerja demi kebajikan dan pembangunan rakyat sekali gus memperkukuh kesepaduan.

“Sikap tidak bertanggungjawab memainkan isu sensatif ini hanya membakar api perkauman dan mewujudkan salah faham rakyat terhadap prinsip dan nilai agama.

“Hentikanlah isu ini. Ia membawa kesan buruk. Pemimpin atau golongan politik sepatutnya sentiasa memikirkan kesan sebarang kenyataan yang dibuat mereka,” kata Datuk Rizam Ismail.

Wakil rakyat Pandamaran Tony Leong Tuck Chee pula berkata isu perkauman atau agama tidak wajar ditimbulkan mana-mana pihak memandangkan Selangor dihuni masyarakat berbilang kaum.

Beliau bimbang rakyat kerap bertelagah sesama sendiri jika sentimen sedemikian terus berlarutan sekali gus menjejaskan kesepakatan sedia ada.

“Wakil rakyat terutama mereka yang lama berkecimpung perlu menjadi contoh dan teladan menyatukan rakyat. Bukan hanya fikirkan kepentingan sendiri,” katanya.

Pada 12 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga menegaskan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.


Pengarang :