Orang ramai berbelanja pada program Sayur Segar KoHijrah Jualan Rakyat di Laman Niaga Usahawan KoHijrah Seksyen 15 Shah Alam pada 11 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
AGENSISELANGOR

Pengunjung puji jualan barangan asas KoHijrah murah, berkualiti

SHAH ALAM, 11 SEPT: Rata-rata pembeli memuji usaha Koperasi Warga Hijrah (KoHijrah) mewujudkan jualan murah barangan asas bagi meringankan perbelanjaan penduduk.

Warga emas V Sarojiny, 66, berkata beliau teruja dengan pelbagai jenis sayuran dan barangan keperluan lain dijual segar dan berkualiti.

V Sarojiny

“Walaupun baharu sahaja hari pertama beroperasi saya harap kualiti dan harga ditawarkan pada masa hadapan kekal murah berbanding di pasaran.

“Lokasinya juga strategik dan selain barangan keperluan asas, kita juga boleh mencuci mata atau duduk berehat sebentar di kedai makan yang terdapat di kiosk di sini,” katanya.

Beliau ditemui pada program Sayur Segar KoHijrah Jualan Rakyat di Laman Niaga Usahawan KoHijrah Seksyen 15 di sini hari ini.

Usahawan KoHijrah, Intan Alia Sulaiman, 42, turut memuji usaha koperasi itu menyediakan pasar mini sedemikian di laman niaga berkenaan.

Intan Alia Sulaiman

“Pengunjung yang datang membeli-belah barangan dapur di sini pada masa sama boleh singgah di kiosk-kiosk KoHijrah sambil membantu menaikkan jualan kami.

“Selain itu, ia juga memudahkan peniaga kiosk seperti kami untuk membeli barangan keperluan asas tanpa perlu ke pasar raya, harganya juga murah,” katanya yang menjual wafel dan minuman.

Terdahulu, koperasi itu melancarkan Laman Niaga Usahawan KoHijrah di Seksyen 15 di sini bagi mendapatkan 120 jenis sayuran pada harga serendah RM1 hingga RM5.

Program yang beroperasi mulai hari ini dibuka setiap hari bermula jam 6 pagi hingga 9 malam selain pelbagai barangan asas juga bakal ditawarkan pada masa hadapan.


Pengarang :