Tangkap layar video ucapan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari dalam program Ceramah Perpaduan Parlimen Pulai pada 2 September 2023. Video Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

Penyokong HARAPAN-BN diajak keluar undi, elak terlalu yakin menang

SHAH ALAM, 3 SEPT: Pengundi di Parlimen Pulai diingatkan menunaikan tanggungjawab mereka pada 9 September ini bagi menjamin kedudukan dua pertiga Kerajaan Perpaduan di Parlimen.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shaari berkata pengundi diingatkan untuk mengambil pengajaran yang berlaku di Selangor, apabila rakyat tidak keluar mengundi kerana terlalu yakin boleh menang sekali gus menyebabkan Kerajaan Negeri kehilangan majoriti dua pertiga, lapor portal Berita Harian.

Katanya, pada pilihan raya negeri (PRN) bulan lalu, Selangor merekodkan peratusan keluar mengundi kira-kira 71 peratus, manakala pengundi masyarakat Cina yang melaksanakan tanggungjawab itu hanya 61 peratus.

“Angka ini menyebabkan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) kehilangan empat kerusi dengan majoriti yang sangat tipis seterusnya tidak mendapat dua pertiga setelah menang 34 daripada 56 kerusi dipertandingkan.

“Kerusi yang tewas dengan majoriti tipis di bawah 1,000 undi itu membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil dengan 400 undi, Taman Medan (30 undi), Gombak Setia (58 undi) dan Sungai Kandis (167 undi).

“Saya tahu ramai yang katakan PH-BN ada peluang besar menang di Pulai, tetapi saya juga harap kita tidak terlalu selesa. Jika berpandangan seperti itu, akan jadi macam apa yang berlaku di Selangor,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Selangor berucap pada Ceramah Perpaduan Pulai di Bukit Indah malam tadi.

Pada PRN lalu, Amirudin berkata, ramai berpandangan Selangor pasti menang dan apabila terlalu yakin, ramai yang tidak turun mengundi.

“Perlu diingat, setiap undi adalah bermakna dan bernilai. Jika peratusan keluar mengundi naik sebanyak 0.5 peratus lagi, kita boleh menang empat kerusi ini dan sahkan majoriti dua pertiga dalam Dewan Negeri, tapi perkara sudah berlaku.

“Jadinya, pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram ingatkan rakan-rakan ini adalah untuk negara dan masa depan kita, pemulihan negara sedang dilakukan dan saya jamin Kerajaan Perpaduan kekal sampai habis penggal.

“Di Selangor lebih 60 peratus rakyat menyokong Kerajaan Perpaduan dan menyekat berlakunya gelombang yang dicanang Perikatan Nasional (PN) dan perkara ini perlu diteruskan di Parlimen Pulai ini,” katanya.


Pengarang :