Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penyokong Keadilan melaungkan “Reformasi” ketika sambutan Jubli Perak 25 Tahun Reformasi dan Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahun Cabang Wanita dan AMK Keadilan Negeri Selangor 2023 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 20 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pertahan semangat reformasi, pastikan kekal relevan

PETALING JAYA, 21 SEPT: Ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) terutama angkatan muda diseru mempertahankan semangat reformasi yang berjaya memberi perubahan kepada pelbagai sistem.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor Mohd Izuan Ahmad Kasim berkata persiapan perlu dibuat dari sekarang bagi memastikan semangat reformasi kekal relevan untuk 25 tahun akan datang.

“Ini adalah parti keramat, parti kita yang beri masa depan.

“Anak muda kena ingat bahawa usaha reformasi paling utama bukanlah sekadar memimpin Putrajaya tetapi mengubah cara berfikir rakyat menjadi rakyat yang cakna, bangsa berilmu dan produktif.

“Inilah yang dibawa Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam Malaysia Madani,” katanya ketika berucap pada sambutan Jubli Perak 25 tahun reformasi di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima anugerah penghargaan khas ketika sambutan Jubli Perak 25 Tahun Reformasi dan Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahun Cabang Wanita dan AMK Keadilan Negeri Selangor 2023 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 20 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor Khairuddin Othman mencadangkan supaya pemerkasaan peranan ketua kampung dilaksanakan melalui penilaian semula lantikan.

“Antara keputusan mesyuarat setiausaha cabang baru-baru ini semua bersetuju untuk memperkasa kembali peranan ketua kampung, ahli majlis, ketua komuniti India dan ketua kampung baru,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Wanita KEADILAN Selangor Rozana Zainal Abidin mahu lebih ramai wanita ditonjolkan dalam Jemaah Menteri berdasarkan kredibiliti mereka sekali gus menepis prasangka kepada kebolehan golongan ini.

“Wanita kini berdepan pengecilan dalam perwakilan senarai calon pilihan raya. Namun kita jangan terus berserah kita sebagai wanita dalam parti mesti terus mendesak agar dikembalikan hak kita.

“Wanita perlu mengorak langkah positif ke hadapan menyelesaikan segala permasalahan dan jadi contoh baik kepada masyarakat,” katanya.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menyempurnakan perasmian perdana mesyuarat agung tahunan cabang, wanita dan Angkatan Muda KEADILAN 2023 dalam majlis tersebut.


Pengarang :