Selangor Fruit Valley di Bestari Jaya menyediakan pelbagai daya tarikan yang membolehkan pelajar melakukan aktiviti pertanian dan merasai pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran tempatan. Foto ihsan Tourism Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Petik anggur, berkhemah dalam ladang antara tarikan baharu SFV

SHAH ALAM, 4 SEPT: Ladang buah-buahan tropika Selangor Fruit Valley (SFV) bakal menyediakan tarikan baharu tahun depan berupa pakej lawatan ke ladang anggur dan memetik sendiri buah itu.

Penolong pengurus kanannya memaklumkan kompleks tanaman anggur hidbrid sedang dibangunkan di 11 rumah hijau yang menempatkan anak pokok anggur hijau dan merah bagi menjayakan hasrat tersebut.

“Turut disediakan di kompleks berkenaan ialah kedai cenderahati dan bilik seminar untuk belajar penanaman anggur selain jualan anggur segar dari ladang,” kata Raja Muhammad Faiz Raja Bazaid.

Bagi menambah lagi daya tarikan ke SFV, beliau berkata pihaknya turut bercadang mewujudkan tapak perkhemahan berkonsep dalam ladang untuk menarik lebih ramai pengunjung.

“Kita juga akan mewujudkan tarikan akuaponik yang menggabungkan akuakultur (ternakan ikan air tawar) dan hidroponik (kaedah pertanian berasaskan air),” katanya lagi.

Ladang berkeluasan lebih 1,000 hektar milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) merekodkan sekitar 60,000 pengunjung sejak Januari lalu.

Dibuka pada 2007, SFV dimajukan sebagai lokasi agropelancongan bagi memodenkan sektor pertanian negeri supaya lebih berdaya maju di samping menjana industri tersebut.

Pelbagai hasil dikeluarkan di ladang tersebut seperti belimbing, jambu batu, rambutan, pulasan, kelapa pandan dan betik selain sayur-sayuran yang boleh dinikmati orang ramai.

Pada 31 Ogos, SFV merekod bilangan pengunjung harian tertinggi seramai 2,358 orang dengan aktiviti paling popular adalah zoo haiwan jinak untuk memberi makanan kepada rusa dan arnab.

 


Pengarang :