Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Pil yaba bernilai lebih RM2.5 juta dirampas daripada penganggur

KOTA BHARU, 27 SEPT: Polis menahan seorang penganggur bersama 234,000 biji pil yaba bernilai lebih RM2.5 juta dalam serbuan di Pasir Mas, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada 11 malam.

“Ketika serbuan, suspek berada di luar kereta Proton Perdana yang diletakkan di perkarangan tempat letak kereta sebuah pasar raya berdekatan Bandar Baru Pasir Mas.

“Pemeriksaan di bahagian but kereta itu, menjumpai empat bungkusan guni warna putih mengandungi pil yaba terbabit,” katanya pada sidang media di IPK di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata suspek tiada rekod jenayah lampau dan dipercayai kesemua dadah itu diperoleh dari negara jiran dan dadah itu boleh digunakan 234,000 penagih dadah.

“Suspek direman tujuh hari bermula 24 sehingga 30 September.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihak kami masih menjalankan siasatan lanjut sama ada suspek ini terlibat dengan mana-mana kumpulan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sepanjang Op Tapis yang dilaksanakan JSJN Kelantan dari 13 hingga 26 September, 620 orang termasuk 26 warga asing ditangkap.

“Kesemua suspek berusia 16 sehingga 60 tahun didapati terlibat dengan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ABD) 1952, Akta Racun (AR) 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh operasi itu, pihaknya turut merampas pelbagai dadah bernilai RM2.7 juta dan sitaan harta berjumlah RM121,114.

– BERNAMA


Pengarang :