Petugas PKPS dan petugas DUN membuat persiapan menyusun sebahagian barangan keperluan asas yang akan dijual lebih murah berbanding dipasaran sempena Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Taman Medan di Masjid As-Salam, Taman Medan pada 5 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPS tawar 2,700 beras Ehsan setiap hari di tujuh lokasi mulai hari ini

SHAH ALAM, 20 SEPT: Orang ramai berpeluang mendapatkan beras 5kg pada harga serendah RM13 apabila Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan bekalan 2,700 kampit di tujuh lokasi setiap hari.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata penjualan beras jenama Ehsan adalah inisiatif Kerajaan Negeri bagi meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga beras tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi

“Beras ini dijual pada harga RM13 di premis jualan PKPS manakala di lokasi Jualan Ehsan Rahmah (JER) kekal pada harga RM10.

“Kita mahu bantu kekalkan rantaian bekalan makanan yang baik untuk rakyat supaya tiada pihak yang terjejas,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Beras jenama Ehsan boleh didapati di tujuh lokasi iaitu:

  • Outlet Wisma PKPS, Seksyen 14
  • Outlet Ehsan PKPS, Seksyen 9
  • Outlet Ehsan PKPS, Meru
  • Kiosk Ehsan, Selangor Fruit Valley
  • Tiga lori jualan bergerak Ehsan PKPS

Isnin lalu, kerajaan memaklumkan akan melaksana Jualan Rahmah Beras dalam masa terdekat bagi menangani isu kenaikan harga beras import selain kekurangan beras tempatan ketika ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh dilapor berkata mekanisme pelaksanaan akan diumum tidak lama lagi sebagai usaha meringankan beban rakyat.


Pengarang :