EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi (tengah) menerima baju PLATS daripada Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) Saipolyazan Mat Yusop (kiri) ketika Sesi Penerangan Program Latihan Pembangunan Usahawaan PLATS (U-PLATS) di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 4 September 2023. Turut sama Ketua Tanggungjawab Sosial dan Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PLATS bantu peniaga jana pendapatan, 20,000 berdaftar sejak 2020

SHAH ALAM, 4 SEPT: Seramai 20,000 peniaga dan penjaja kecil menyertai Platform Selangor (PLATS) yang dibangunkan pentadbiran negeri untuk meluaskan pasaran dan meningkatkan jualan.

Ketua pegawai operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata inisiatif yang diperkenal pada 2020 membantu menggerakkan ekonomi golongan itu susulan pandemik Covid-19.

Menurut Saipolyazan M Yusop, sebahagian besar atau 90 peratus peniaga yang menyertai platform itu melibatkan sektor makanan dan minuman, manakala selebihnya pakaian dan kecantikan.

“PLATS mahu memperkasa penjaja dan usahawan mikro dalam mempromosi produk menerusi platform digital dan media sosial selain menyediakan program pembangunan secara berfasa,” katanya.

Beliau ditemui dalam sesi penerangan program latihan pembangunan usahawan PLATS (U-PLATS) di sini hari ini, yang turut dihadiri EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi.

Sementara itu, Mohd Najwan memaklumkan Kerajaan Negeri sedang menambah baik bantuan dan program bersesuaian untuk usahawan di Selangor terutama kepada golongan belia.

“Ramai belia mula menceburi perniagaan akibat terkesan dengan Covid-19. Kita mahu bantu usahawan muda yang minat dan fokus dengan menyediakan platform serta mendapat bimbingan,” katanya.

Diperkenal pada 2020, PLATS melaksanakan bazar Ramadan digital pertama di Malaysia bagi membantu penjaja kecil yang terjejas pendapatan susulan penularan wabak Covid-19.

Inisiatif itu diperluas setahun kemudian bagi membantu peniaga sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja dan diteruskan sehingga kini dengan kerjasama agensi berkaitan.


Pengarang :