Sekitar Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 12 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PLATS promosi program latihan pembangunan usahawan baharu di pameran halal antarabangsa

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Platform Selangor (PLATS) berpeluang mempromosi program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS) dalam Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) edisi ke-19.

Pengurus Projeknya Hazwani Sabudin berkata pihaknya mencari seramai 360 usahawan dari 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyertai inisiatif baharu yang dilancar awal bulan ini.

Menurutnya pengunjung didedahkan cara permohonan selain manfaat bakal diperoleh apabila menyertai program terbabit seperti latihan dan kursus digital bernilai RM1,500.

“Pasukan kami akan bantu mendigitalisasi peniaga dengan latihan selama 12 bulan. Selepas itu lima peniaga terbaik bakal dipilih untuk memperoleh geran berbentuk tunai sebanyak RM5,000.

“Selain itu, kami akan beri peluang kepada peniaga untuk jadi vendor pada program-program antarabangsa yang dibuat di Selangor misalnya Pameran Udara Selangor (SAS) baru-baru ini,” katanya.

Pengurus Projek Platform Selangor (PLATS) Hazwani Sabudin ketika ditemui di Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 12 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Bercakap di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini semalam, beliau memaklumkan program bagi membantu usahawan mengurus perniagaan secara digital itu akan dilaksanakan 12 sesi.

“Sesi ini mengikut tarikh PBT dan dimulakan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). MBSA akan cari 30 peniaga dan peniaga boleh mula daftar untuk sertainya.

“Borang permohonan boleh dimuat turun melalui laman sesawang platselangor.com dan borang lengkap perlu dihantar ke pegawai perhubungan usahawan PBT masing-masing,” katanya.

PLATS antara 23 pempamer yang menyertai Pavilion Selangor sempena Mihas bermula hari ini hingga 15 September.

Dihoskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan dianjurkan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Mihas menampilkan trend, teknologi dan inovasi terkini meliputi 13 kluster industri halal.

Pameran diadakan secara fizikal dan platform dalam talian yang boleh diakses 24 jam sehari.

 


Pengarang :