Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York pada 22 September 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

PM: Jajar semula institusi global tangani jurang luas pertumbuhan ekonomi, pendapatan

Daripada D Arul Rajoo

NEW YORK, 22 SEPT: Pembaharuan drastik, sistemik serta penjajaran semula keseluruhan institusi global adalah penting dalam menangani jurang luas di antara pertumbuhan ekonomi dengan pendapatan yang mengakibatkan perbezaan berterusan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sekiranya perkara itu tidak ditangani, dunia akan terus mengalami ketidaksamaan yang semakin ketara sekali gus membezakan negara dan rakyat.

“Ekonomi global juga diunjurkan terus dibelenggu ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, kenaikan harga komoditi serta keadaan kewangan yang mencabar,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara ketika Perbahasan Umum pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kali ke-78 di ibu pejabat PBB di sini, malam ini.

Beliau berkata apabila pertumbuhan pendapatan gagal menyamai pertumbuhan ekonomi, akibatnya isi rumah menjadi terbeban dengan hutang.

“Kita kini mempunyai kalangan yang sangat kaya hidup di sisi golongan yang sangat miskin. Perbezaannya terletak jelas pada perkara yang penting: pendapatan yang mencukupi untuk menampung keperluan asas, tempat tinggal, akses kepada pendidikan berkualiti dan penjagaan kesihatan.

“Laporan Matlamat Pembangunan Mampan 2023 mengesahkan bahawa kita ketinggalan, dengan hampir satu pertiga daripada sasaran sama ada dalam keadaan inersia atau lebih buruk, mundur kembali,” tegasnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berkongsi usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim bagi mencapai Agenda 2030, pelan hala tuju negara berdasarkan kerangka Malaysia MADANI serta beberapa isu global lain.

“Awal tahun ini, saya memperkenalkan Malaysia MADANI — visi berasaskan tonggak nilai teras yang kami percaya amat diperlukan dalam mana-mana masyarakat yang berkembang maju dan aman harmoni — Ihsan, Hormat, Keyakinan, Daya Cipta, Kesejahteraan, Kemampanan.

“Prinsip asas dan nilai moral ini juga terpakai dalam konteks hubungan kami dengan negara-negara lain,” katanya.

Ini adalah penampilan pertama beliau sebagai Perdana Menteri pada perhimpunan tahunan itu.

Tema Perbahasan Umum tahun ini ialah Rebuilding trust and reigniting global solidarity: Accelerating action on the 2030 Agenda and its Sustainable Development Goals towards peace, prosperity, progress and sustainability for all (Membina kembali kepercayaan dan menyemarakkan semula perpaduan global: Mempercepat tindakan Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampannya ke arah keamanan, kemakmuran, kemajuan dan kemampanan untuk semua).

Semasa lawatan rasmi untuk menyertai pemimpin dunia yang lain pada perhimpunan agung itu, Anwar diiringi isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa; serta beberapa ahli parlimen dan pegawai kerajaan.

– BERNAMA


Pengarang :