Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat pada 19 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Kerajaan sedaya upaya bantu rakyat depani masalah harga barang keperluan

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedaya upaya melakukan yang terbaik dalam membantu rakyat mendepani permasalahan berkaitan harga barang keperluan ketika ini.

Mengakui masalah berkaitan perkara itu wujud, Anwar berkata beliau sudah meminta Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali dan Timbalan Menteri KPDN Datuk Fuziah Salleh untuk memberikan perhatian berhubung perkara itu.

Katanya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memfokuskan mengenai isu berkenaan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL).

“Memang ada masalah, saya akui, harga barang dan keperluan, kita lihat beberapa negara sudah ada keresahan sosial besar kerana sekatan eksport beras, peningkatan cukai eksport bawang.

“Itu semua beri kesan kepada ekonomi dan (harga) barang, tapi kita cuba tangani,” katanya selepas melancarkan sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Lembaga TH yang ke-60 di Menara TH.

Ditanya sama ada pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dijadualkan hari ini akan menyentuh mengenai ura-ura rombakan kabinet, beliau berkata ia hanya merupakan pertemuan mingguan yang biasa dilakukannya dengan Seri Paduka.

“Mungkinlah, mungkin, nanti saya fikir. Tak ada keperluan mendesak pun sebab yang kosong cuma satu,” kata Perdana Menteri.

Ketika ini kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Julai lepas, masih belum diisi.

Media sebelum ini melaporkan kemungkinan berlaku penyusunan semula Kabinet dalam masa terdekat, dengan beberapa menteri diramal digugurkan dan dakwaan rombakan itu hanya akan dilakukan selepas Pilihan Raya Kecil Pelangai pada 7 Oktober ini.

– BERNAMA


Pengarang :