Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur D’Medan Selera MADANI di Kompleks Tun Sambanthan pada 4 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Peguam negara tidak diarah lepas Zahid tanpa dibebas

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak memberi sebarang arahan kepada Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Katanya, selaku Perdana Menteri, beliau tahu kesan daripada keputusan yang dibuat oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap kestabilan politik dan negara tetapi akur dengan penjelasan Idrus yang tidak mahu melepaskan tanggungjawab dalam menguruskan kes itu kepada penggantinya.

“Saya nak jelaskan, tidak ada arahan kepada Peguam Negara. Dia terlibat dalam meneruskan pendakwaan… kemudian dia baca dokumen bocor yang ditulis oleh AGC yang menyatakan tak bersetuju dengan pendakwaan.

“Tentunya sebagai Perdana Menteri, saya tahu kesan daripada tuduhan yang dilemparkan susulan keputusan tersebut, malah saya terpaksa tanya panjang lebar kepada Peguam Negara kenapa keputusannya begitu serta kenapa sekarang?” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Seri Petaling dekat sini hari ini.

Isnin lepas, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat itu.

Mengulas dakwaan yang beliau boleh mempengaruhi keputusan kes atas kapasiti sebagai Perdana Menteri, Anwar berkata mereka yang berkenaan boleh membuat apa sahaja tohmahan.

Namun yang jelas sepanjang tempoh sembilan bulan menerajui kerajaan, beliau tidak pernah campur tangan dalam sebarang keputusan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketua hakim negara dan peguam negara.

Anwar juga melihat dakwaan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak ada pilihan ketika membuat keputusan DNAA bagi kes tersebut sebagai tidak benar kerana badan kehakiman walaupun tertakluk kepada kertas pendakwaan tetapi masih mempunyai wewenang atau budi bicara dalam membuat keputusan.

Dalam hal yang sama Perdana Menteri berkata beliau tidak menyalahkan rakyat yang bangkit menuntut penjelasan terperinci berhubung keputusan AGC itu, malah beliau sendiri terpaksa meminta penjelasan lanjut daripada Peguam Negara kerana fakta sebenar kes telah dimanipulasi pihak berkepentingan.

“Ada yang mengatakan hakim tak ada pilihan. Itu tidak benar. Jadi, saya syorkan baca ketetapan daripada Peguam Negara yang dibacakan di hadapan hakim dan mengapa hakim kemudian rasa bersetuju dengan usul tersebut.

“Rakyat umumnya berhak ambil tahu dan jawapannya kena baca 11 perkara yang dibentangkan di hadapan hakim secara sepenuhnya…janganlah kata ini arahan Perdana Menteri dan sebagainya,” kata beliau.

Anwar juga berharap rakyat tidak hanya percaya dengan dakwaan serta tohmahan daripada orang-orang politik kerana mereka biasanya hanya bercakap ‘ikut sedap kata’ tanpa mempedulikan fakta sebenar.


Pengarang :