BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Projek Manhattan: Oppenheimer kesal cipta nuklear

Projek Manhattan adalah projek mencipta bom nuklear pertama dunia. Robert Oppenheimer merupakan pengarah di makmal Los Alamos yang mereka-bentuk bom tersebut sehingga jadi praktikal untuk diletupkan.

Bagaimana projek ini bermula?

Pada 1938, saintis Jerman, Otto Hahn dan Fritz Strassmann menemui bahawa atom boleh dibelah. Pembelahan itu menatijahkan penghasilan tenaga yang kini dikenali sebagai pembelahan nuklear.
Berita penemuan ini sebenarnya menimbulkan ketakutan pada ramai orang, terutamanya saintis. Mana tidaknya, jika suatu hari nanti Jerman fasis berjaya menghasilkan bom nuklear, habis sengsaralah manusia di seluruh dunia.

Negara kuasa-kuasa besar tidak nampak ancaman ini termasuklah Presiden Amerika Syarikat (AS), Franklin Roosevelt pada masa itu.

Jadi, Leo Szilard, seorang ahli fizik menulis surat untuk memberikan amaran kepada Roosevelt pada 1939. Disebabkan beliau tidak begitu popular, sokongan Albert Einstein diperlukan — saintis paling popular di dunia sampai ke hari ini.

Pada tahun sama, Jerman menyerang Poland dan Perang Dunia Kedua pun tercetus. AS cuba untuk menjadi neutral dalam peperangan ini. Tetapi gesaan untuk melihat praktikaliti bom nuklear tetap diteruskan. Roosevelt menubuhkan Jawatankuasa Uranium bagi menyiasat apakah benar bom nuklear boleh dibuat.

Pada ketika ini, kajian agak perlahan sehinggalah Jawatankuasa MAUD dari United Kingdom (UK) memberitahu bom atom boleh dibuat melalui pembelahan nuklear. Maka, UK meminta kerjasama dengan AS untuk bukan sahaja buat kajian, tetapi hasilkan bom. Unit ini diketuai oleh Vannevar Bush.

Reaktor pertama

Pada masa inilah reaktor nuklear pertama dunia, dikenali sebagai Chicago Pile berjaya dibina di bawah padang bola sepak Universiti Chicago.

Saintis juga menemui unsur yang sesuai digunakan untuk buat bom atom iaitu uranium dan plutonium. Jadi, uranium dilombong dan plutonium dihasilkan melalui pereputan uranium.

Pada 1941, AS menyertai Perang Dunia selepas Pearl Harbour di Kepulauan Hawaii diserang Jepun. Pada 1942, dengan kerjasama saintis dan tentera, Projek Manhattan ditubuhkan. Projek ini diketuai oleh Jeneral Leslie Groves.

Dinamakan Projek Manhattan kerana pangkalan utamanya terletak di Manhattan. Tetapi projeknya tidak hanya tertumpu di Manhattan, malah berdozen-dozen tempat di seluruh AS.

 

Tempat paling utama adalah di Los Alamos — tempat buat bom. Oak Ridge — tempat dapatkan uranium. Hanford — tempat dapatkan plutonium. Los Alamos adalah tempat Robert Oppeinhemer mereka-bentuk bom dan beliaulah yang cadangkan tempat ini.

Los Alamos ini dicadangkan kerana jauh daripada populasi dan dapat menjadi titik tengah antara tempat-tempat penting dalam Projek Manhattan.

Minda-minda terbilang dalam kalangan saintis dan daripada pelbagai unit semua berkumpul di sini, mendirikan penempatan dan membawa keluarga masing-masing. Tempat ini sangat rahsia dan mereka akan pastikan tiada siapa yang tahu tentang Los Alamos.

Semasa Oppenheimer dilantik sebagai pengarah di Los Alamos, ramai yang terkejut dan yang tidak bersetuju dengan pelantikan itu.

Sebab pertamanya; Oppenheimer tidak mempunyai prestij. Dengan kata lain, beliau tidak pernah lagi menang Hadiah Nobel sedangkan orang yang bekerja di bawahnya bukan calang-calang seperti Enrico Fermi, Richard Feynmann, Glen Seaborg, Ernest Lawrence dan beberapa lagi yang memang berprestij.

Sebab keduanya; Oppenheimer mempunyai ramai kenalan dan ahli keluarganya terlibat dengan aktiviti komunis. Perempuan simpanannya merupakan ahli komunis, isterinya, adiknya (Frank Oppenheimer) dan adik iparnya merupakan bekas ahli parti komunis.

Ujian Triniti

Jadi, susah untuk mempercayai Oppenheimer mempunyai niat untuk mempertahankan negaranya sendiri. Disebabkan ini, Oppenheimer sentiasa dipantau oleh FBI.

Tapi, beliau tetap dilantik kerana Leslie Groves nampak kualiti Oppenheimer yang dapat menterjemahkan aspek praktikal untuk mereka-bentuk bom dan beliau pun mempunyai pengetahuan teori fizik yang luas. Oppenheimer juga mempunyai karisma yang tinggi sehingga ramai saintis terpukau.

Projek Manhattan bermula pada 1942. Tiga tahun selepas itu, Julai 1945, bom atom pertama berjaya diletupkan — dikenali sebagai Ujian Triniti.

Peristiwa ini sebenarnya memberikan kesan yang mendalam pada Oppenheimer di usia lanjutnya. Walaupun AS berjaya hasilkan bom atom, ramai saintis agak terkilan kerana tidak dapat guna bom itu ke atas Jerman. Jerman mengaku kalah dua bulan lebih awal iaitu Mei 1945.

Maka, bom itu digunakan untuk melawan Jepun di Pasifik dengan meletupkan bom uranium “Little Boy” di Hiroshima pada 6 Ogos 1945. Hampir 170,000 orang terkorban. Kemudian, bom plutonium “Fat Man” pula meletupkan Nagasaki pada 9 Ogos 1945. Hampir 80,000 orang terkorban.

Projek Manhattan meninggalkan legasi yang rencam. Selepas tamatnya peperangan, Oppenheimer antara orang yang menggesa kerajaan supaya mengharamkan penggunaan senjata nuklear.
Oppenheimer tidak pernah berkata secara langsung tentang penyesalannya dan tidak komen apa-apa ketika mendapat jolokan “Bapa Bom Atom”.

Tetapi kelakuan dan tindakannya menunjukkan penyesalan yang tidak dapat diungkapkan. Dalam masa sama, beliau berada dalam dilema. Maka sebab itu beliau memetik Bhagavad Gita, “I am become Death, the destroyer of world”.


Pengarang :