Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat projek jalan yang telah siap selepas merasmikan penyerahan projek menaik taraf Jalan B23 dan persimpangan Kampung Bendahara, Sungai Tua di Taman Selayang Mutiara, Gombak pada 22 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Projek naik taraf Jalan Sungai Tua tangani isu trafik, atasi banjir kilat

GOMBAK, 22 SEPT: Projek menaik taraf Jalan B23, Jalan Sungai Tua dan Persimpangan Kampung Bendahara Sungai Tua di sini, berjaya mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menjimatkan masa perjalanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek dengan kos RM25.5 juta itu turut mengatasi masalah banjir kilat di persimpangan Kampung Sungai Kertas yang sering menghantui penduduk.

“Kalau dahulu jalan sedia ada adalah satu lorong sehala, tetapi dengan siapnya projek ini jalan raya kini dilebarkan menjadi dua lorong sehala.

“Ia juga dapat menjimatkan masa perjalanan dan mengurangkan kesesakan. Projek ini turut mempunyai komponen skop kerja untuk atasi masalah banjir,” katanya pada majlis perasmian penyerahan projek itu di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan majlis penyerahan projek menaik taraf Jalan B23 dan persimpangan Kampung Bendahara, Sungai Tua di Taman Selayang Mutiara, Gombak pada 22 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Mohd Yazid Sairi dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Lokman Nasir.

Amirudin menambah pembangunan projek itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memantapkan infrastruktur dan memberi kemudahan asas kepada rakyat.

Menurutnya projek naik taraf jalan raya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat sekali gus mewujudkan pembangunan sekitar dan peluang pekerjaan baharu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerima cenderamata dari JKR Selangor selepas merasmikan penyerahan projek menaik taraf Jalan B23 dan persimpangan Kampung Bendahara, Sungai Tua di Taman Selayang Mutiara, Gombak pada 22 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kejayaannya harus diukur berdasarkan kesan dan impak pembangunan kepada rakyat. Setiap sen yang dibelanjakan perlu benar-benar memberi manfaat dan keselesaan kepada rakyat,” katanya.

Projek berkenaan dibangunkan pada 2018 dan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan berikutan beberapa faktor, antaranya cabaran pandemik Covid-19.


Pengarang :