Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Reformasi dan Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahun Cabang Wanita dan AMK Keadilan Negeri Selangor 2023 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 20 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Reformasi perjuangan tidak pernah mati, ubah landskap politik negara

PETALING JAYA, 21 SEPT: Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan agenda reformasi dibawa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) adalah perjuangan panjang yang mengubah landskap politik negara.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor itu berkata agenda yang menjadi denyut nadi KEADILAN itu juga berterusan dan semangatnya kekal subur walaupun ada pihak membuat tohmahan bahawa ia telah mati.

“Sesetengah pihak mudah menyatakan bahawa reformasi sudah mati dan dikuburkan dengan sebab beberapa keputusan terkini daripada Kerajaan Perpaduan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melaungkan “Reformasi” ketika sambutan Jubli Perak 25 Tahun Reformasi dan Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahun Cabang Wanita dan AMK Keadilan Negeri Selangor 2023 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 20 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sebab apa mereka mahu kerajaan ini mati? Sebab mereka tahu gerakan inilah yang telah mengecapi perubahan demi perubahan dalam negara kita.

“Sebenarnya orang ini sangat takut dengan reformasi. Orang ini sangat bimbang dengan reformasi dan tidak mahu reformasi terus berlaku,” katanya dalam ucaptama sambutan Jubli Perak 25 tahun reformasi di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi.

Amirudin berkata reformasi adalah peristiwa kedua terbesar dalam sejarah politik negara selepas kemerdekaan yang mengubah parameter dan landskap politik nasional hingga ke hari ini.

“(Reformasi) adalah himpunan rakyat yang begitu besar dalam sejarah menurut pandangan Zunar dan ia adalah peristiwa kedua terbesar dalam sejarah politik negara selepas kemerdekaan.

“Seperti disebut (Datuk Seri Anwar Ibrahim) perubahan ke arah kebaikan itu akan terus mekar dan berkobar-kobar dalam hati rakyat Malaysia dan tidak akan mati.

Antara ahli yang hadir pada sambutan Jubli Perak 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 20 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kalau kita pisahkan reformasi daripada sudut pandang mahu melihat Anwar jadi PM, siapa jadi MB, wakil rakyat, ahli majlis, ketua kampung, kita tidak akan membawa naluri dan nada perubahan yang kita inginkan selama ini,” katanya.

Pada majlis sama Amirudin yang juga Naib Presiden KEADILAN turut merasmikan mesyuarat agung tahunan cabang, wanita dan Angkatan Muda KEADILAN 2023.

Sambutan Jubli Perak 25 Tahun KEADILAN Selangor itu berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 1,000 ahli.


Pengarang :