Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari membahas Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada 1 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RMK12: Selangor sedia bekerjasama kukuh jaringan pengangkutan awam

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kerajaan Negeri Selangor sedia bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam merealisasikan jaringan pengangkutan awam Bas Rapid Transit, perancangan meluaskan Lapangan Terbang Subang dan pembinaan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berpendapat peralihan kepada mod pengangkutan awam amat diperlukan di Selangor dan menyambut baik perkara itu sebagaimana yang dibentang dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Amirudin berkata beliau juga menyambut baik keterjemahan dasar prinsip Ekonomi Madani khususnya bagi pencetus aktiviti ekonomi mampan seperti peralihan tenaga boleh baharu, industri teknologi digital, industri elektrik dan elektronik dengan fokus kepada ‘front-end’.

Beliau berkata perkara itu termasuk pengujian cip serta beberapa aspek dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu seperti menjadikan Malaysia Pusat Kewangan Islam Global yang mampu menawarkan pekerjaan dengan gaji lebih tinggi kepada warga Selangor dan Malaysia.

“Juga pengklusterian ekonomi mengikut keunikan wilayah masing-masing sepertimana diasaskan di Selangor,” katanya menerusi aplikasi X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter).

Selain itu, Amirudin berkata beliau terbuka dengan cadangan menyegerakan usaha tebatan banjir serta penubuhan Pusat Bencana Geologi Negara supaya Selangor dan negeri lain dapat lebih tangkas mengadaptasi kepada cabaran perubahan iklim.

Beliau juga berkata Dasar Gaji Progresif dan pengukuhan sistem pendidikan digital serta tumpuan kepada aspek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu menggerakkan transisi untuk anak muda diberikan kemahiran baharu serta ditawarkan gaji yang lebih bermaruah.

“Aspek-Aspek ini akan saya teliti dalam perbahasan saya di Parlimen pada petang esok. Insya-Allah,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.

-BERNAMA


Pengarang :