Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong berucap ketika Majlis Dialog bersama Timbalan Menteri Kewangan II sempena Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 21 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sasar kedudukan 12 terbaik Indeks Daya Saing Global, tarik lebih ramai pelabur

SHAH ALAM, 21 SEPT: Malaysia disasar berada dalam kelompok 12 terbaik bagi Indeks Daya Saing Global pada masa akan datang sekali gus mampu menarik lebih banyak pelabur ke negara ini.

Timbalan menteri kewangan II berkata negara ketika ini berada pada tangga ke-27, kedudukan yang dianggap membanggakan kerana diraih dalam tempoh enam bulan selepas Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran negara.

“Tahun lepas negara berada pada kedudukan ke-32 dan berjaya diperbaiki ke-27 dalam tempoh singkat hasil hasil kerja keras penjawat awam, pihak swasta, rakyat dan Kerajaan Negeri.

“Tetapi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata kita tidak boleh berpuas hati setakat kedudukan ke-27 memandangkan Malaysia pernah menjadi negara terhebat dunia.

“Justeru sasaran kita dalam jangka sederhana mahu jadi 12 terbaik bagi Indeks Daya Saing Global,” kata Steven Sim Chee Keong berucap pada Jelajah Belanjawan 2024 peringkat Selangor di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Di sebalik ketidaktentuan ekonomi dunia, isu geopolitik dan perang perdagangan, beliau memaklumkan negara mampu mencatat pertumbuhan ekonomi 4.2 peratus setakat enam bulan pertama, melepasi sasaran empat peratus.

“Awal tahun kita jangka empat peratus dan kita dapat 4.2 peratus. Ini menunjukkan ekonomi dan strategi kita berada di landasan yang betul,” katanya.

 


Pengarang :