Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis perasmian penyerahan kunci 420 unit Pangsapuri Selangorku @ Seri Temenggung di Pangsapuri Seri Temenggung, Gombak pada 22 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor bina 40,000 unit rumah tempoh lima tahun, terbanyak banding negeri lain

GOMBAK, 22 SEPT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengiktiraf Selangor sebagai juara dalam penyediaan rumah mampu milik dalam negara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri berjaya membina 40,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun sejak 2018.

Beliau menjelaskan angka itu juga mengatasi sasaran 30,000 unit dengan tambahan 45,000 unit lagi bakal disiapkan menjelang akhir tahun ini.

“Dalam kelulusan kita setakat ini sudah mencecah kira-kira 70,000 hingga 80,000 (permohonan). Tetapi KPKT kata yang sudah siap lebih kurang 40,000 dalam tempoh 2018 hingga Ogos.

“Kita juga menunggu 45,000 unit lagi yang bakal disiapkan. Insya-Allah kita yakin (boleh siap) dengan semua projek ini sedang dipantau dan berjalan pada waktu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kunci rumah Pangsapuri Selangorku@Seri Temenggung kepada 420 pembeli termasuk 29 peneroka asal di sini hari ini.

Amirudin menambah Kerajaan Negeri juga akan menambah baik kemudahan di bandar atau perumahan baharu bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat seperti terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Bandar seperti Shah Alam, Ampang, Petaling dan Cheras mempunyai banyak kawasan perumahan yang dibangunkan pada 80-an 90-an yang perlu diremajakan semula.

“Perubahan dasar di peringkat Persekutuan diperlukan. Ini adalah peluang terbaik untuk hidupkan kawasan perumahan yang lebih berdaya saing dengan lebih banyak dengan fasiliti,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membuat lawatan dan beramah mesra bersama penerima rumah Selangorku ketika Majlis perasmian penyerahan kunci 420 unit Pangsapuri Selangorku @ Seri Temenggung di Pangsapuri Seri Temenggung, Gombak pada 22 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :