SEPANG, 16 SEPT: Kerajaan Negeri menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaan mengedarkan 100,000 cucuk sate percuma dalam Fiesta Sate Selangor 2023 hari ini.
EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail berkata lebih 10,000 pengunjung menghadiri program anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dan Majlis Kebudayaan Negeri Selangor.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/PSX_20230916_121637-500x333.jpg.webp)
“Tanpa mengira latar belakang, semua orang menikmati sate yang boleh dihidang sama ada sebagai juadah santai bersama keluarga dan kawan-kawan atau di dalam majlis istimewa.
“Melangkaui soal makanan semata-mata, saya yakin bahawa program seumpama ini dapat menjadi wadah perpaduan kaum melalui penglibatan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Rizam menerima sijil pengiktirafan daripada MBOR atas kejayaan Kerajaan Negeri menganjurkan fiesta itu di Pantai Bagan Lalang, di sini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/PSX_20230916_115834-500x333.jpg.webp)
Dalam majlis berasingan sebelum itu, EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah mengumumkan Sate Kajang bakal diwartakan sebagai makanan warisan Selangor menjelang tahun hadapan.
Menurutnya, Sate Kajang dipilih sebagai makanan warisan Selangor berikutan juadah itu amat sinonim dengan bandar Kajang sejak 1917.
Pada November tahun lalu, nasi ambeng diwartakan sebagai makanan warisan bagi memberi ketetapan untuk ciri-ciri makanan berkenaan yang asli dan berasal dari Selangor.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/PSX_20230916_121752-500x333.jpg.webp)