Pengunjung merakam gambar kenangan di mercu Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 6 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor Fruit Valley catat kunjungan harian tertinggi sempena cuti sekolah

SHAH ALAM, 1 SEPT: Ladang buah-buahan tropika Selangor Fruit Valley (SFV) di Bestari Jaya merekod bilangan pengunjung harian tertinggi semalam seramai 2,358 orang.

Penolong Pengurus Kanannya Raja Muhammad Faiz Raja Bazaid memaklumkan nilai jualan mencecah RM60,000 menerusi jualan tiket dan makanan selain permainan dan sukan air.

“Kebanyakan pengunjung ambil peluang bawa keluarga sempena cuti umum dan cuti sekolah. Aktiviti yang popular seperti zoo haiwan jinak (petting zoo).

“Pengunjung teruja memberi rusa makan dan bermain dengan arnab selain kambing pigmi yang menjadi tarikan terbaharu di situ,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ladang berkeluasan lebih 1,000 hektar milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mencatat kehadiran 60,000 pengunjung sejak Januari lalu

Dibuka pada 2007, SFV dimajukan sebagai lokasi agropelancongan bagi memodenkan sektor pertanian negeri supaya lebih berdaya maju di samping menjana industri tersebut.

Pelbagai hasil dikeluarkan di ladang tersebut seperti belimbing, jambu batu, rambutan, pulasan dan betik selain sayur-sayuran, yang boleh dinikmati orang ramai.

Sempena Pameran Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) bermula hari ini hingga Ahad, harga tiket untuk kanak-kanak dan warga emas hanya RM10, manakala dewasa RM15.

 


Pengarang :