Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menanam pokok Darma Minyak selepas merasmikan Fit Malaysia Selangor di Gamuda Cove Central Park, Kuala Langat pada 2 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor tanam 200,000 pokok setahun, capai hasrat 54 peratus kawasan hijau negara

KUALA LANGAT, 2 SEPT: Selangor komited menyokong inisiatif kerajaan dalam Kempen Penanaman 100 juta Pokok Menjelang 2025 menerusi usaha menanam lebih 200,000 pokok di negeri ini setiap tahun, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi memastikan kehijauan negara terus terpelihara sekali gus mencapai hasrat 54 peratus daripada kawasan Malaysia dihijaukan.

“Kita sasarkan setiap tahun untuk menanam lebih 200,000 pokok untuk menyokong usaha itu.

“Kita juga berbesar hati Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj) dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor (Tengku Amir Shah) selalu mencemar duli untuk menyertai program penanaman pokok,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menanam pokok Darma Minyak selepas merasmikan Fit Malaysia Selangor di Gamuda Cove Central Park, Kuala Langat pada 2 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas merasmikan Fit Malaysia Selangor 2023 di Gamuda Cove Central Park di sini, hari ini yang disertai 11,000 peserta melibatkan pelbagai aktiviti seperti fun walk, larian lima kilometer, trail ride, senamrobik, cabaran lompat tali selain 14 aktiviti kecergasan berbentuk pertandingan.

Dalam program itu Amirudin turut menanam pokok jenis Darma Minyak bagi menyokong kempen berkenaan.

Dalam perkembangan lain Amirudin berkata kos pembersihan tapak sampah haram di Kapar, Klang adalah di bawah tanggungjawab pemilik tanah persendirian itu.

“Tapi dalam pengalaman kita akhirnya Kerajaan Negeri perlu campur tangan dan pastinya kita akan beri kos kepada tuan tanah.

“Jika tiada kita akan laksanakan proses rampasan dan sebagainya kerana guna tanah yang tidak sesuai dengan apa yang telah ditetapkan dalam syarat guna tanah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan isu pembuangan sampah haram di pekan Kapar dengan anggaran 30,000 hingga 50,000 tan metrik dan kos pembersihan dianggarkan mencecah jutaan ringgit.

Amirudin berkata pembangunan teknologi projek sisa kepada tenaga (WTE) yang sedang diusahakan Kerajaan Negeri bakal menangani isu pelupusan sampah secara mampan.


Pengarang :