EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah merasmikan majlis penutup Karnival Jejak Warisan Merdeka 2023 dan pelancaran Buku Pemetaan Warisan Bandar-bandar Diraja di Istana Bandar, Kuala Langat pada 16 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor tekad pulihara khazanah warisan negeri, pacu sektor pelancongan

KUALA LANGAT, 16 SEPT : Kerajaan Selangor tekad mahu memelihara dan memulihara khazanah warisan negeri sekali gus memacu sektor pelancongan domestik.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata usaha itu bagi memastikan khazanah warisan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Menurutnya, bagi memastikan agenda itu berjaya Kerajaan Negeri bakal mewartakan bangunan Istana Bandar, Pusat Kusta Negara, kapal korek bijih timah di Dengkil dan beberapa bangunan bersejarah.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berucap ketika merasmikan majlis penutup Karnival Jejak Warisan Merdeka 2023 dan pelancaran Buku Pemetaan Warisan Bandar-bandar Diraja di Istana Bandar, Kuala Langat pada 16 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Aset warisan seperti Istana Bandar antara produk pelancongan penting di negeri ini. Terima kasih pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kerana meluluskan permohonan untuk memulihara istana lama ini.

“Proses baik pulih (termasuk kajian kerosakan dan kerja-kerja penyediaan Pelan Pengurusan Pemuliharaan) ini akan mengambil masa dalam tiga atau empat tahun sebelum ia boleh dilawati oleh para pelancong,” katanya hari ini.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah melawat ke reruai pameran selepas merasmikan majlis penutup Karnival Jejak Warisan Merdeka 2023 dan pelancaran Buku Pemetaan Warisan Bandar-bandar Diraja di Istana Bandar, Kuala Langat pada 16 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ditemui selepas merasmikan majlis penutup Karnival Jejak Warisan Merdeka di Istana Bandar di sini, Borhan berkata Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor (PADAT) juga akan mengenal pasti beberapa lokasi pelancongan atau warisan yang memerlukan petunjuk arah.

“Namun, kita akan ikut saranan Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) bahawa sebelum promosi dibuat kita akan memastikan prasarana di satu-satu kawasan terpelihara.

“Kita perlu memastikan kemudahan seperti parkir, tandas berada dalam keadaan baik terlebih dahulu,” katanya.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah melihat buku Pemetaan Warisan Bandar-bandar Diraja selepas merasmikan majlis penutup Karnival Jejak Warisan Merdeka 2023 dan pelancaran buku berkenaan di Istana Bandar, Kuala Langat pada 16 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu, Borhan turut melancarkan buku ‘Pemetaan Warisan Bandar-Bandar Diraja Di Malaysia’ terbitan bersama Jabatan Warisan Negeri dan Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.

Buku berkenaan berkisar teoritikal, tipologi, komponen, elemen, karakter dan nilai warisan serta mitos yang melingkari sembilan bandar diraja iaitu Bandar Diraja Klang di Selangor, Bandar Diraja Arau (Perlis), Bandar DiRaja Kuala Kangsar (Perak), Bandar Diraja Seri Menanti (Negeri Sembilan).

Selain itu, Bandar Diraja Pekan (Pahang), Bandar Diraja Anak Bukit (Kedah), Bandar Maharani Muar (Johor), Bandar Diraja Chendering (Terengganu) dan Bandar Diraja Kubang Kerian (Kelantan).


Pengarang :