PBTSELANGOR

Sempena bulan kesedaran barah, MPK anjur acara larian pada 15 Oktober

SHAH ALAM, 27 SEPT : Majlis Perbandaran Klang (MPK) menganjurkan larian Pinky Fun Run sempena bulan kesedaran barah payudara pada 15 Oktober ini.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata aktiviti yang diadakan bersekali dengan program Hari Klang Tanpa Kenderaan itu bakal berlangsung di Padang Sultan Suleiman, Klang.

“Tetamu kehormat Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan berangkat ke program tersebut.

“Kita mengalu-alukan warga Klang khususnya untuk memeriahkan program ini dan menyertai acara larian dengan jarak 3 kilometer (km), 5km dan 8km,” katanya menerusi Mesyuarat Penuh MPK hari ini.

Selain itu, Noraini mempelawa warga emas berusia 60 tahun ke atas menyertai program ‘Healty Ageing : Preventing Frailty Among Elderly’ yang diadakan pada 7 Oktober ini di Dewan Serbaguna Taman Eng Ann.

Menurutnya, program itu bertujuan memberi kesedaran berhubung faktor risiko, cara pencegahan dan rawatan susulan mengenai masalah keuzuran dalam kalangan warga emas.

“Program pertama dianjurkan di Malaysia ini akan berlangsung setiap dua minggu sekali di pelbagai lokasi di seluruh kawasan Klang. Maklumat lokasi akan diuar-uarkan menerusi media sosial MPK,” ujarnya.


Pengarang :