Pengunjung merakam gambar kenangan di mercu Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 6 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sewaan tanah bantu petani majukan tanaman, hasil dipasar ke jualan murah

SHAH ALAM, 13 SEPT: Ladang buah-buahan tropika Selangor Fruit Valley (SFV) di Bestari Jaya menawarkan tanah seluar 150 ekar untuk disewa kepada petani yang mahu meluaskan tanaman mereka.

Penolong Pengurus Kanannya Raja Muhammad Faiz Raja Bazaid menjelaskan tawaran dibuka kepada pengusaha tanaman kontan dan jangka pendek selain sayuran menggunakan teknologi tinggi.

Menyasarkan 50 petani untuk mengusahakan tanah berkenaan, beliau berkata setiap ekar akan dikenakan bayaran bulanan antara RM80 hingga RM120, bergantung kepada jenis tanaman.

“Kita sasarkan petani ini dapat usahakan tanah dengan anggaran tiga ekar seorang. Bagaimanapun, jika hasil tanaman baik, kita akan tawar tanah yang lebih luas.

“Hasil tanaman mereka juga akan dipasarkan di mini karnival selain SFV turut membelinya untuk bekalan Jualan Ehsan Rahmah,” katanya ketika dihubungi.

Raja Muhammad Faiz berkata petani yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan berharga RM15 di SFV pada setiap Selasa dari jam 10 pagi hingga 3 petang yang dibuka hingga awal Oktober.

“Setakat ini lebih 30 petani menunjukkan minat. Mereka akan menjalani sesi temu duga untuk pastikan hanya yang benar-benar minat sahaja layak terima tawaran,” katanya.


Pengarang :