EXCO Pelaburan Ng Sze Han bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris merasmikan Majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sidang niaga sasar 5 industri utama capai potensi nilai jualan RM1.5 bilion

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 menyasarkan lima industri utama bagi mencapai potensi nilai jualan sebanyak RM1.5 bilion.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata lima industri tersebut merupakan sektor penting di Selangor ketika ini selain faktor kedudukan negeri sebagai pintu masuk Asean.

“Lokasi Selangor yang terletak strategik di tengah-tengah semenanjung merupakan sebab mengapa kami jangka lima industri ini sebagai sasaran utama.

“Kami juga bukan sasarkan taman teknologi di Selangor sahaja, tetapi kami juga sasar taman teknologi di negeri-negeri lain serta rantau ini kerana kita mahu menjadi pintu masuk ASEAN,” katanya pada sidang media.

Terdahulu beliau menghadiri majlis pra pelancaran SIBS 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari.

Lima industri tersebut adalah sektor elektrik dan elektronik; pemprosesan makanan dan minuman; pelaburan digital; perkhidmatan lojistik; serta jentera dan barangan pengangkutan.

Sze Han menjangkakan SIBS 2023 mampu menjadi medan perkongsian berharga antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, sekali gus membantu pemulihan ekonomi lebih cepat.

Menurutnya, sidang niaga itu juga akan diadakan dalam skala lebih besar pada tahun depan dengan pembahagian kepada beberapa pameran utama bagi mencapai sasaran pengunjung.

“Sidang selama empat hari ini sebenarnya tidak mencukupi kerana kita ada banyak aktiviti kepada pelabur. Kita akan buat lebih besar pada tahun depan dan membahagikan kepada dua atau tiga pameran utama,” katanya.

SIBS dijadual berlangsung pada 19 hingga 22 Oktober ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Ia menyediakan lebih 1,000 reruai dari dalam dan luar negara termasuk sasaran kehadiran 50,000 pengunjung.

Sidang pelaburan itu menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).

Turut dianjur Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.


Pengarang :