Orang ramai meyaksikan persembahan pesawat akrobatik daripada Juruterbang Akademi Penerbangan Layang – Layang Kapten John Scratchman ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Suri rumah datang dari Seremban demi bawa anak kunjungi pameran udara Selangor

SHAH ALAM, 9 SEPT: Seorang suri rumah sanggup datang dari Seremban, Negeri Sembilan demi membawa anaknya ke Pameran Udara Selangor 2023 (SAS 2023) di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong di sini, hari ini.

Umiyatul Syahiroh Mat Shariff, 35, berkata beliau bersama suami bertolak 7.30 pagi dan tiba di kawasan Stadium Shah Alam bersebelahan Giant Seksyen 13 kira-kira 9 pagi sebelum menaiki bas ke tapak pameran.

Umiyatul Syahiroh Mat Shariff, 35

“Saya buat pendaftaran bulan lalu tetapi tidak memaklumkan kepada anak-anak kerana mahu beri mereka kejutan.

“Alhamdulillah, perjalanan lancar dan anak-anak sangat teruja dan gembira apabila dapat lihat sendiri secara dekat pelbagai jenis pesawat selain berpeluang menaikinya,” katanya ditemui di pameran tersebut.

Sementara itu, pekerja syarikat kimia Vincent Kor, 40, berkata beliau pertama kali kunjungi pameran berkenaan bagi memberi pendedahan kepada anaknya yang bercita-cita mahu menjadi juruterbang.

Vincent Kor, 40

“Anak saya menunjukkan minat mahu menjadi juruterbang dan menerusi pameran seperti ini mereka dapat didedahkan dengan pelbagai aspek dalam industri penerbangan.

“Paling menarik, anak saya berpeluang untuk merasai mengendalikan dron menggunakan simulator dron yang dibawa oleh syarikat terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar G.Krishaalini, 20, beliau datang ke pameran udara bersama adik-beradiknya untuk melihatnya sendiri pelbagai pesawat secara dekat.

G.Krishaalini, 20

“Saya tidak minat sangat dengan penerbangan tetapi mahu ambil pengalaman. Apabila sampai di sini, saya dapat pelajari benda baharu iaitu maklumat tentang pesawat yang dipamerkan.

“Pameran sangat menarik dan jika dianjurkan lagi pada masa depan saya akan datang semula,” katanya.

Pengunjung melihat pelbagai replika model kapal terbang awam ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bertemakan ‘Satu-satunya Pertunjukan dan Perniagaan Penerbangan di Rantau ini’, SAS 2023 dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung dalam pelbagai sektor manakala potensi nilai transaksi RM700 juta.

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Kanak-kanak diberi peluang duduk di ruang kokpit pesawat sempena
Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :