Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat kenderaan penunda elektrik bagi pesawat komersial pertama di Malaysia ketika Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark pada 7 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Syarikat selenggara pesawat pelawa lepasan universiti, orang awam sertai latihan industri

SHAH ALAM, 8 SEPT: Syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat agensi kerajaan memanfaatkan penganjuran Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 untuk mempromosi program Protege dan latihan industri kepada orang awam.

Eksekutif Komersial Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd Ahmad Afiq Sazwan Zakaria berkata pihaknya sedang mencari individu terutama graduan yang mengikuti jurusan penerbangan dan aeroangkasa untuk menyertai program terbabit.

“Penyertaan Galaxy Aerospace pada dua edisi terdahulu SAS lebih kepada mempromosi perkhidmatan dan perniagaan, tetapi kali ini matlamat kami adalah membuka peluang kepada pelajar lepasan universiti untuk sertai pasukan kami.

Eksekutif Komersial Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd Ahmad Afiq Sazwan Zakaria ditemui di Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark pada 7 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Sejak awal pagi, ramai pelajar dari pelbagai institusi pengajian singgah ke reruai kami untuk bertanyakan lebih lanjut berhubung program ini dan mereka rata-ratanya berminat,” katanya menambah sehingga kini syarikat itu memiliki kira-kira 300 kakitangan di seluruh negara.

Sementara itu, Pengurus Akaun HyperCoat Enterprises K Parimala berkata penyertaan julung kali dalam SAS menjadi medium terbaik untuk mengetengahkan perkakas kecantikan pesawat keluaran syarikat terbabit.

Jelas beliau, ramai tidak mengetahui bahawa syarikat yang bertapak di Singapura sejak 1984 itu merupakan pembekal rasmi perkakas kecantikan pesawat terhadap pemain industri di negara ini.

Pengurus Akaun HyperCoat Enterprises K Parimala ditemui di Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark pada 7 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana beri peluang syarikat ini buka reruai di SAS. Sekurang-kurangnya orang ramai terutama penggiat industri tahu bahawa kami masih lagi pembekal rasmi perkakas kecantikan pesawat di negara ini.

“Jadi ini kesempatan terbaik untuk kami pamer produk yang dibekalkan HyperCoat kepada syarikat pengilang peralatan asal (OEM), MRO, aeroangkasa dan penerbangan seperti ‘aerospace composite’ serta ‘coating’ (salutan),” katanya.


Pengarang :